Search
Close this search box.
Pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu di Sekolah Menengah Ayer Hitam. Foto fail Bernama.

Energy Stick: Ibu bapa, sekolah perlu kerjasama pastikan pelajar tidak terjebak

ByBernama

NILAI, 6 Feb: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mahu ibu bapa dan sekolah bekerjasama dengan memberi perhatian serius bagi memastikan pelajar tidak terjebak terhadap pengambilan produk penyedut hidung atau ‘energy stick’.

Beliau berkata perkara itu sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa selain segala pandangan daripada ibu bapa serta guru sangat diperlukan dalam menangani penggunaan produk itu dalam kalangan pelajar.

395,870 calon duduki SPM 2023

“Saya minta ibu bapa dan sekolah ambil perhatian isu ini. Pelajar pula jangan ambil (energy stick), tumpukan kepada pendidikan dan kesihatan, luangkan masa dengan melakukan program berfaedah serta jangan ambil benda yang memberi kesan kepada kesihatan kita.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah ambil tindakan. Kementerian Pendidikan (KPM) ambil semua pandangan, sebab itu kita (KPM) sokong apa sahaja tindakan dan bekerjasama dengan KKM untuk pastikan ia (pengambilan energy stick) dapat dikawal dan ditangani sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan 2024 yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan mengakui pihaknya menerima aduan dan akan mengambil tindakan segera berhubung produk itu yang giat dijual dan dipromosikan menerusi media sosial.

Public Health Malaysia (PHM) sebelum ini turut memaklumkan produk pemula yang boleh menjerat pengguna kepada vape dan dadah itu adalah terkini di pasaran dan mula popular dalam kalangan pelajar selain dijual dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10.

Sementara itu, mengulas dakwaan berlaku kebocoran soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi mata pelajaran Sejarah, Fadhlina berkata perkara itu dalam siasatan pihaknya dan pada masa sama meminta pelajar tidak diganggu dengan berita berkenaan.

“Beri mereka (pelajar) ruang untuk fokus pada peperiksaan. Kita mempunyai integriti tinggi kerana SPM merupakan peperiksaan peringkat nasional, jadi kawalan dan keselamatan sangat ketat. Namun, apa sahaja dakwaan, kita siasat dan ambil tanggungjawab penuh,” katanya.

Berkaitan hal pemberian BAP kepada sekolah di seluruh negara, Fadhlina berkata usaha itu telah mencapai 80 peratus dan akan diselesaikan sebelum 10 Feb ini.

Beliau berkata jumlah peruntukan BAP diterima di Negeri Sembilan ialah RM26,458,050 membabitkan 478 sekolah yang memanfaatkan 176,387 pelajar.

Terdahulu, sambutan Hari Perpaduan Silang Budaya peringkat Negeri Sembilan hari ini berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) atas penyertaan seramai 177,000 murid dan 17,400 guru berpakaian tradisional. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan