Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat meninggalkan Istana Negara pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini. Foto: Bernama

Laungan azan di Istana Negara iringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Jan: Laungan azan yang syahdu bergema di Istana Negara pagi ini, mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

Azan yang dilaungkan oleh Pembantu Pegawai Agama di Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni itu menambahkan lagi sayu dan pilu warga Istana Negara, yang berkesempatan mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sutan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah buat kali terakhir.

Seri Paduka dan Tunku Azizah juga kelihatan sebak ketika azan berkumandang, sebelum menaiki kenderaan khas diraja.

Keberangkatan balik baginda berdua diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring dan isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.

Ketika meninggalkan Istana Negara, kenderaan khas yang membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melintasi Kawalan Kehormatan Darjat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, Setapak, yang turut mempersembahkan “Hormat Diraja” di Dataran Istana Negara.

Seri Paduka berdua selepas itu berangkat ke Dataran Parlimen di sini untuk Istiadat Keberangkatan Balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintahan sebelum menuju ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk menaiki pesawat pulang ke Pahang.

Al-Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan pada 6 Jan 2019. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan