Search
Close this search box.
Kenangan ketika Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam Bersama Komuniti di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di Sibu 11 September lalu. Foto Faitullah Morni (TVS)

Momen manis bersama Al-Sultan Abdullah

KUCHING, 23 Jan: “Rakyat Borneo ini cukup hebat sekali kerana sanggup menunggu kita dengan isteri dan keluarga saya” mungkin menjadi ungkapan yang paling diingati rakyat Sarawak dan Sabah merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ungkapan itu dibuat ketika majlis santapan di Dewan MUC, Kampung Bandong, Sibu sempena Kembara Kenali Borneo yang dianjurkan bagi merealisasikan impian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendekati rakyat di Sarawak dan Sabah.

Titah bersahaja baginda itu besar ertinya bagi seluruh rakyat yang menantikan kunjungan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong ke Sarawak.

Seri Paduka bertitah, rakyat di kedua-dua negeri di Borneo itu hadir beramai-ramai untuk menyambut rombongan konvoi berkenaan.

Kunjungan yang dinanti-nantikan itu juga menjadi dorongan untuk rakyat mempamerkan semangat serta perpaduan yang dimiliki.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, usaha Al-Sultan Abdullah mendekati rakyat selama Kembara Kenali Borneo berlangsung menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Agong turut menunjukkan Raja Berperlembagaan memiliki peranan unik sebagai payung perpaduan, kemakmuran serta kestabilan negara.

Masyarakat turut berpendapat Al-Sultan Abdullah membawa imej mesra rakyat institusi beraja sepanjang tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Keprihatinan Al-Sultan Abdullah menyaksikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu menangani beberapa isu termasuk isu darurat kesihatan dan bencana banjir.

Al-Sultan Abdullah sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.

Al-Sultan Abdullah juga merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat Perdana Menteri akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu untuk tempoh lima tahun.

Sistem ini merupakan satu-satunya sistem seumpama itu yang diamalkan di dunia.

Al-Sultan Abdullah juga dekat di hati rakyat bukan saja melalui acara kenegaraan tetapi juga sikap terpuji Seri Paduka membenarkan surau di Istana Negara dibuka kepada orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat.

Menjunjung kasih, Tuanku. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan