Search
Close this search box.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail (kanan) menunjukkan gambar suspek dan tempat lokasi kejadian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hari ini. Foto, Bernama.

Tiga lelaki curi kabel TM ditahan polis

ByBernama

TAIPING, 22 Jan: Polis menahan tiga lelaki disyaki terlibat kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan Padang Gajah di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Nasir Ismail berkata ketika serbuan Op Telaga, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 27 tahun itu sedang membuka lubang utama kabel TM kira-kira 12.20 tengah malam.

“Mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dikenal pasti baru berjinak dalam kegiatan mencuri kabel TM di daerah Taiping.

“Polis turut merampas besi T iaitu pembuka lubang utama, besi kuku kambing, tukul besi, pemotong besi dan pemutar skru dipercayai peralatan untuk mencuri kabel TM selain merampas sebuah kereta yang digunakan mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan kabel bawah tanah milik TM dengan membuka penutup lubang utama, sebelum suspek masuk ke dalam untuk memotong kabel dan ditarik menggunakan kenderaan.

Mohamad Nasir berkata polis sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan sekiranya masih terdapat ahli kumpulan itu yang masih bebas bagi mencegah kegiatan berkenaan terus berlaku.

“Kabel yang cuba dicuri bernilai anggaran RM20,000 manakala harga pasaran pula secara keseluruhannya bernilai RM50,000,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu direman selama enam hari sehingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki yang cuba melakukan jenayah samun menerusi Op Sentap di sebuah stesen minyak di Simpang di sini pada hari sama.

Beliau berkata penganggur yang juga penagih dadah tegar berusia 37 tahun itu ditahan hasil maklumat orang awam dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi.

“Polis merampas barang digunakan suspek semasa melakukan cubaan samun antaranya sebilah pisau, topi keledar, telefon bimbit, baju hujan dan motosikal,” katanya.

Katanya, suspek membuat tinjauan ke stesen minyak yang disasarkan sebelum mengacukan senjata tajam bagi mengancam pekerja serta melakukan jenayah samun secara berseorangan.

“Hasil siasatan mendapati tangkapan ini mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah. Dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun dan ragut di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata penggeledahan di rumah suspek kemudian telah menemukan peralatan dipercayai bagi melakukan kegiatan jenayah antaranya sebilah kerambit, topi keledar dan telefon bimbit.

Suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan