Search
Close this search box.
Penyerang Thailand Supachai Chaided meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak Kumpulan F Piala Asia AFC Qatar 2023 antara Thailand dan Kyrgyzstan di Stadium Abdullah bin Khalifa di Doha. Foto AFP

Piala Asia 2023: Thailand kekal rekod tanpa kalah, cerahkan peluang ke pusingan kalah mati

ByBernama

DOHA, 22 Jan: Jaguh Asia Tenggara Thailand mengekalkan rekod tanpa kalah selepas berjaya menyekat Oman daripada meraih tiga mata penuh apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua Kumpulan F saingan Piala Asia 2023 di Stadium Abdullah bin Khalifa di sini, malam tadi.

Keputusan itu mencerahkan lagi peluang skuad Gajah Perang untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang aksi terakhir kumpulan bertemu juara tiga kali Arab Saudi, Khamis ini.

Thailand, bimbingan pengendali dari Jepun, Masatada Ishii ketika ini mengumpul empat mata di posisi teratas kumpulan dengan Arab Saudi berpeluang memintas kedudukan itu sekiranya berjaya menewaskan Kyrgyzstan pada satu lagi aksi, malam ini.

Pada perlawanan pembukaan Selasa lalu, Thailand mengalahkan Kyrgyzstan 2-0

Pada pertembungan Oman dan Thailand di sini, perlawanan seimbang di separuh masa pertama, namun Thailand terlebih dahulu mengancam kubu lawan menerusi tandukan deras pemain pertahanan Elias Dolah berpunca sepakan penjuru pada minit ke-16.

Namun, percubaan itu berjaya diselamatkan penjaga gol Ibrahim Al Mukhaini untuk pemain tengah Abdullah Fawaz pantas mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya sebelum giliran penyerang Issam Al Sabhi menguji Patiwat Khammai di gawang menerusi rembatan yang tepat ke arahnya pada minit ke-20.

Fawaz kemudian terlepas peluang meletakkan Oman yang dibimbing Branko Ivankovic di depan apabila percubaan kaki kanannya selepas menerima hantaran Harib Al Saadi, melambung tinggi pada minit ke-31 dan kedudukan 0-0 kekal sehingga waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Oman, yang tewas 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi pembukaan Selasa lepas, lebih garang dalam usaha memburu kemenangan tetapi Thailand terlebih dahulu membuat percubaan berbahaya menerusi tandukan penyerang muda Supachai Chaided yang sedikit tersasar pada minit ke-55.

Oman yang terdesak terlepas beberapa peluang untuk memecah kebuntuan antaranya rembatan pemain pertahanan Khalid Al Braiki pada minit ke-72 yang tersasar ke sebelah kanang gawang, selain tandukan pemain gantian Omer Al Malki yang tepat ke arah Patiwat pada minit ke-85.

Keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Oman, pasukan ke-74 dunia, meraih mata pertama pada kempen kali ini dan perlu meraih kemenangan apabila membuat perhitungan menentang Kyrgyzstan pada aksi terakhir, Khamis ini.

Thailand yang menghuni ranking ke-113 pula perlu mengelak daripada tewas atau sekurang-kuranganya memerlukan keputusan seri berdepan Arab Saudi untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan