Search
Close this search box.
Penyerang Thailand Supachai Chaided meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak Kumpulan F Piala Asia AFC Qatar 2023 antara Thailand dan Kyrgyzstan di Stadium Abdullah bin Khalifa di Doha. Foto AFP

Dua gol Supachai bantu Thailand atasi Kyrgyzstan

ByBernama

DOHA, 17 Jan:  Juara terbanyak Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Thailand bermula dengan langkah kanan selepas mengatasi Kyrgyzstan 2-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan F pada saingan Piala Asia 2023 di Stadium Abdullah Bin Khalifa di sini, malam ini.

Penyerang sensasi kelab Buriram United, Supachai Chaided muncul wira skuad Gajah Perang apabila menjaringkan dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua untuk membantu Thailand meraih permulaan positif.

Pertembungan pertama kedua-dua pasukan pada pentas Piala Asia itu berlangsung sengit seawal permainan bermula dengan Thailand terlebih dahulu memberikan amaran apabila percubaan kaki kanan Supachok Sarachat terkena tiang pada minit ke-14.

Thailand, juara tujuh kali Piala AFF akhirnya, memecah kebuntuan apabila Supachai berjaya melepaskan rembatan dari jarak dekat, menewaskan penjaga gol Erzhan Tokotayev pada minit ke-26 yang menjadi gol tunggal babak pertama permainan.

Skuad bimbingan jurulatih dari Jepun, Masatada Ishii, tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan selepas Supachai sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring hanya tiga minit selepas babak kedua bersambung.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil sekali gus menyaksikan Thailand mengekalkan rekod bersih berdepan Kyrgyzstan dalam dua pertemuan selepas kali terakhir bertemu dalam aksi persahabatan pada 2001.

Thailand selepas ini akan bertemu Oman manakala Kyrgyzstan berdepan tugas sukar apabila dijadual berdepan Arab Saudi, masing-masing pada Ahad ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan