Search
Close this search box.
Lukanisman (kiri)mendengar penjelasan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Teh Jo Hun di Klinik Kesihatan Nanga Ngungun. Foto: TVS

RM19 juta untuk naik taraf klinik kesihatan di Sarawak – Lukanisman

KANOWIT, 16 Jan: Sejumlah RM19 juta telah diperuntukkan kepada Sarawak untuk menaik taraf klinik kesihatan di bawah program Bitara Madani tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti kaedah yang sesuai dari beberapa sesi lawatan ke klinik kesihatan dan hospital di Sarawak.

Jelasnya, sebanyak 22 lokasi akan dilawat bermula 15 Januari sehingga 19 Januari ini sempena jelajah keduanya di Sarawak secara rasmi yang meliputi bahagian Sibu, Sarikei, Kapit, Betong dan lain-lain.

“Hari ini kita juga telah melawat Klinik Kesihatan Nanga Ngungun dimana peruntukan sebanyak RM400,000 untuk menaik taraf dan juga menambah baik fasiliti yang sedia ada.

“Dan untuk klinik Kesihatan Machan saya juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 yang telah diberikan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu untuk melaksanakan program naik taraf klinik daif, kita sedang mengenalpasti apakah bentuk naiktaraf yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke Klinik Kesihatan Nanga Machan di Kanowit pada Isnin.

Selain itu, Lukanisman berkata terdapat keperluan untuk memperbesarkan hospital Kapit dan cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat KKM.

“Di Hospital Sibu kita telah melaksanakan beberapa projek yang telah diluluskan di dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Manakala di Spaoh, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ingin melihat konsep kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan dalam mereka bentuk klinik sekurang-kurangnya jenis 4 untuk dibina di Spaoh dan kita juga akan melihat hospital Sri Aman,” tambahnya.

Dalam siri lawatannya juga, beliau ingin melihat persiapan untuk memulakan proses digitalisasi sistem kesihatan di seluruh Malaysia.

“Walaupun kita mempunyai sistem yang sedia ada tetapi (untuk penambahbaikan) kita juga mempunyai sistem baru untuk diguna pakai di klinik-klinik kesihatan,” jelasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan