Search
Close this search box.
Man on the Run. Foto Facebook Man On The Run

Man on the Run: Fahmi, MCMC akan teliti permohonan Najib

ByBernama

PETALING JAYA, 13 Jan: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi meneliti permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan mengarahkan Netflix menurunkan serta melarang tayangan dokumentari Man on the Run.

Beliau berkata pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa aspek perundangan sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

“Saya dan juga pihak MCMC baru menerima surat tersebut. Ada beberapa pandangan awal yang telah disampaikan tapi saya rasa perlu diberikan beberapa pertimbangan, kita kena pastikan ia berlandaskan undang-undang.

“Kita kena teliti kerana perkara ini ditimbulkan dalam mahkamah. Jadi ada beberapa perkara yang perlu penelitian terutamanya aspek perundangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran seni seramik Raaqoo Life Magnified-The Main Show oleh Adil Ghani di sini hari ini.

Baru-baru ini, peguam Najib memohon supaya kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman itu supaya menurunkan serta melarang tayangan dokumentari yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarahkan oleh Cassius Michael Kim, adalah subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) untuk mengenal pasti seniman tempatan yang boleh diketengah untuk mengeluarkan hasil seni istimewa dan boleh dijadikan cenderahati rasmi untuk kegunaan kerajaan.

“Sebelum ini, kita ada beberapa cenderahati yang mungkin kita biasa gunakan tapi untuk tahun ini, mungkin saya minta pasukan di kementerian pertimbang mengapa kita tidak cari seniman tempatan untuk kita hasilkan beberapa cenderahati khas untuk acara yang istimewa.

“Saya akan bincang dengan MyCreative yang banyak membantu seniman tempatan bagaimana kita boleh usahakan cenderahati seperti ini. Ini antara lain sebagai tanda sokongan (kepada seniman tempatan),” katanya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan