Search
Close this search box.
Datuk Len Talif Salleh menghadiri majlis menandatangi permit kajian karbon antara Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Ahmad dan Bendahari LAKIKR, Baijuri Jaujie di Kuching, baru-baru ini. Foto FB Len Talif Salleh

Perdagangan karbon, singkap potensi Kuala Rajang

SARIKEI, 9 Jan: Kerajaan meluluskan permit kajian karbon kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) dalam usaha memperkasakan potensi kawasan itu dalam industri perdagangan karbon di wilayah tengah Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha terbaharu yang meliputi hutan bakau seluas lebih 40,000 hektar itu bukan sahaja membawa manfaat besar kepada penduduk tetapi juga melestarikan persekitaran di kawasan berkenaan.

Projek kajian yang bermula pada 26 Disember tahun lalu itu katanya, akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

“Sebelum ini LAKIKR mendapat lesen penebangan pembalakan daripada kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Hutan dan menggunakan kaedah itu untuk menebang. Hasilnya digunakan untuk menghasilkan arang.

“Namun selepas undang-undang perdagangan karbon diluluskan tahun lalu, kita boleh menggunakan sebahagian lesen itu untuk perdagangan karbon ini. Malah, melalui permit yang diperuntukkan itu, kita tidak perlu menebang hutan untuk mendapatkan hasilnya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, setakat ini pihaknya mendapat respon yang amat positif daripada pelbagai syarikat yang berminat untuk menjayakan kajian tersebut.

Katanya, kajian dan analisis meliputi dua peringkat iaitu mengenal pasti jumlah karbon atas tanah yang terdapat di kawasan itu sebelum perunding yang dilantik menawarkannya kepada pembeli yang memiliki kredit pembelian karbon.

“Hutan bakau meliputi hampir keseluruhan di kawasan pesisir Kuala Rajang dikenal pasti menyimpan stok karbon yang tinggi. Ini sudah pasti menambah satu lagi peluang ekonomi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi setempat.

“Yang perlu ditekan dalam sektor baharu ini, kita memberi tumpuan terhadap perubahan iklim apabila melalui pendekatan itu, kita mahu mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara selain berupaya mengembangkan perusahaan lain seperti pembiakan ketam, siput dan sebagainya,” katanya.

LAKIKR ditubuhkan pada 1995 bertujuan menyalurkan bantuan kebajikan,pengurusan masjid dan surau dalam menjalankan aktiviti keagamaan dan bantuan pendidikan untuk anak Kuala Rajang termasuk yang bukan beragama Islam.

Permit itu katanya, merupakan yang kedua dikeluarkan Jabatan Hutan dan yang pertama untuk LAKIKR dan hutan bakau di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan