Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Dr Jeniri Amir berkata Pelabuhan Bintulu pasti memberi kesan positif terhadap pelbagai segi khususnya dari segi ekonomi.

Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu pacu ekonomi Sarawak

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 9 Jan: Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak, sekali gus menambah pendapatan negeri, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dato Dr Jeniri Amir.

Menurutnya, penyerahan pelabuhan tersebut daripada Kerajaan Persekutuan merupakan satu detik bersejarah dalam konteks perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Ini akan pasti memberi kesan yang positif terhadap pelbagai segi khususnya dari segi ekonomi.

“Bagi saya ini adalah sebahagian daripada langkah untuk pelaksanaan Strategi Pembangunan Pelabuhan Sarawak secara menyeluruh dalam konteks pelan induk yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memangkin pembangunan di semua pelabuhan di Sarawak dan memastikan setiap pelabuhan memainkan peranannya,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Katanya, beliau melihat tindakan tersebut sebagai satu langkah yang membolehkan pelabuhan tersebut diurus dan dimajukan sebagai sebuah pelabuhan negeri yang lebih cekap, maju dan berdaya saing.

Beliau berpendapat pelabuhan itu nanti bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Sarawak tetapi turut meningkatkan pendapatan negeri ini.

“Jika kita lihat dalam konteks industri minyak dan gas, aktiviti pertengahan dan hiliran, minyak, pangkalan bekalan dicadangkan, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon yang diperjuangkan atau dilaksanakan Premier, pengeluaran hidrogen dan biofuel yang lain.

“Apabila mereka mendapat hasil yang lebih baik, pasti ada urusan perniagaan yang lebih rancak lagi melalui Pelabuhan Bintulu nanti,” ujarnya lagi.

Semalam, media tempatan melaporkan kata sepakat telah dicapai untuk menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak pada Jun ini.

Perkembangan itu susulan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan–Negeri yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menerusi kenyataan media bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani pada Februari nanti.

Rang Undang-Undang Pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 juga akan dibentangkan oleh MOT pada persidangan Dewan Rakyat akan datang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan