Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (tengah) merakam gambar sambil memegang buku baharu yang dikarang oleh Datuk Alfred Yap Chin Loi. Foto: Muqri Aziz (TVS)

MA63: Menteri Kesihatan akan hadiri mesyuarat autonomi kesihatan kepada Sarawak

ByMuqri Aziz

KUCHING, 7 Jan: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dijadual menghadiri mesyuarat berkenaan penurunan kuasa autonomi kesihatan kepada Sarawak di bandar raya ini pada minggu depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, perkara itu perlu disegerakan memandangkan sudah lama tertunggak.

Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, wujud keperluan mendesak berhubung perkara itu berikutan perubahan model kesihatan pada masa kini.

“Model kesihatan yang diamalkan sejak 60 tahun yang lalu sudah tidak sesuai diaplikasi di Sarawak, salah satunya ialah berkenaan Pusat Jantung Sarawak.

“(Pada masa sama), kita bimbang kerana tiada kemajuan (dicapai berhubung autonomi kesihatan kepada Sarawak),” katanya.

Dr. Sim berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis pelancaran buku yang ditulis oleh Datuk Alfred Yap Chin Loi di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini hari ini.

Autonomi kesihatan merupakan salah satu daripada tiga perkara yang dituntut Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain pendidikan dan hak ke atas Pelabuhan Bintulu.

Sementara itu, Dr. Sim berkata, apabila Kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa kesihatan kepada Sarawak kelak, wilayah ini akan menguruskan pentadbiran kesihatan sepenuhnya.

Beliau yakin perkara itu dapat dilaksanakan kerana Sarawak mempunyai kepakaran untuk menguruskan sektor kesihatan.

“(Saya) akui bukan mudah kerana penurunan kuasa autonomi kesihatan kepada Sarawak akan melibatkan 43 undang-undang yang perlu dipinda namun optimis ia dapat diselesaikan segera,” katanya.

Pada Khamis lepas, Dr. Sim mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Kesihatan di Putrajaya.

Pada pertemuan itu beberapa perkara turut disentuh termasuklah peranan Sarawak dalam Kertas Putih Kesihatan, enam peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas Perubatan Tradisional Cina (TCM), fisioterapi dan isu berbangkit yang lain. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan