Search
Close this search box.
Projek Penempatan Sungai Berdaun. Foto Mohamed Raffiq (TVS).

126 keluarga tambahan dari Seberang Hilir pindah ke Perumahan Sungai Bedaun April ini – Premier Sarawak

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 6 Jan: Seramai 126 keluarga tambahan dari perkampungan Seberang Hilir di sini akan berpindah ke Perumahan Sungai Bedaun menjelang April depan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau mendedahkan pakej satu Skim Penempatan Semula Sungai Bedaun yang melibatkan 209 unit dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini sekali gus membolehkan mereka yang dipilih dari Kampung Semarang, Panglima Seman lama dan Kampung Pulo Ulu itu untuk mula berpindah ke perumahan baharu berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di tapak Projek Penempatan Sungai Berdaun di sini, hari ini. Foto Mohamed Raffiq (TVS).

“Dalam projek Pembangunan Darul Hana, kita menyasarkan untuk memindahkan keluarga-keluarga ini dari kampung tetapi terdapat isi rumah yang mempunyai keluarga tambahan, jadi kita perlu mengambil kira keperluan mereka juga.

“Oleh itu kita bangunkan Projek Penempatan Sungai Bedaun dengan objektifnya untuk memberikan rumah kepada keluarga tambahan.

“Kita telah membangunkan pakej pertama dengan sebanyak 209 unit rumah dan kita juga akan bangunkan pakej kedua iaitu sebanyak 217 unit.

“(Seramai) 126 keluarga akan berpindah berfasa-fasa mengikut tahap pembangunan rumah yang kita laksanakan di kedua-kedua kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Penempatan Sungai Berdaun di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pemilik kediaman boleh membesarkan rumah mengikut reka bentuk standard yang telah ditetapkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), tanpa perlu meminta kelulusan.

Abang Johari menambah, projek perumahan mampu milik sedemikian, akan diperluas ke beberapa kawasan di negeri ini seperti Gedong, Kabong, Asajaya dan Santubong mengikut model dan harga unit yang sama.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan pemberita berhubung isu projek perumahan Sentoria Borneo Land yang terbengkalai, Abang Johari berkata pihaknya hanya boleh mengambil alih sekiranya isu berkaitan diselesaikan termasuk dari segi perundangan.

“Ia ada kontrak antara pemaju dan pembeli…Kita perlu menelitinya secara terperinci.

“Projek itu mempunyai kontraktor, ia tidak jelas, kita minta mereka selesaikan dahulu dan kemudiannya kita akan ambil alih,” ujar beliau.

Untuk rekod, pembinaan perumahan terbabit sepatutnya tamat pada tahun 2019, namun sehingga kini ia masih belum disiapkan meskipun para pembeli telah mula membayar pinjaman mereka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan