Search
Close this search box.

Penjenayah berbahaya mati ditembak polis

BUKIT MERTAJAM, 31 Dis: Seorang penjenayah berbahaya yang melakukan samun bersenjata, mati ditembak polis selepas berbalas tembakan di Jalan Sungai Lembu di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah malam itu, suspek berusia 44 tahun dengan 16 rekod jenayah lampau tersebut maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah mengesan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum meminta berhenti.

Katanya, polis turut mengesan nombor pendaftaran SUV yang kemudiannya dipecut laju itu didapati terlibat dalam kes samun di Butterworth dekat sini.

“Suspek telah melepaskan tembakan ke arah pasukan polis dan untuk mempertahankan diri, polis melepaskan tembakan.

“SUV itu kemudiannya terbabas selepas dikejar dalam 200 meter sebelum seorang lelaki keluar dan mengacukan pistol ke arah pasukan JSJ D9.

“Demi mempertahankan diri, kita juga melepaskan tembakan ke atas penjenayah itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Kok Chin, pihaknya percaya suspek yang didapati bergerak secara bersendirian itu merupakan penjenayah berbahaya kerana memiliki senjata api semi-automatik.

“Suspek yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau itu kerap keluar masuk (penjara) Simpang Renggam dan aktif melakukan samun di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur.

“Dia juga didapati terlibat dalam dua kes samun di daerah Seberang Perai Utara baru-baru ini membabitkan sebuah kedai nombor ekor dan kedai runcit,” katanya lagi.

Kata Kok Chin, polis akan menyiasat sekiranya suspek turut terlibat dalam kegiatan samun bersenjata di negeri-negeri jiran yang bersempadan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan