Search
Close this search box.

Jalan sekitar Kuching ditutup sempena Sambutan Countdown 2024 malam ini

BySafri Ali

KUCHING, 31 Dis: Beberapa jalan di sekitar bandaraya Kuching ditutup sempena Sambutan Countdown 2024 yang akan diadakan di Tebingan Kuching malam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, sambutan itu bermula jam 8 pagi ini dan dijangka selesai pada 1 Januari 2024 jam 1 pagi.

Menurutnya, bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan melakukan penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat.

“Peringkat pertama penutupan dan lencongan jalan akan bermula dari jam 7 pagi. Jalan yang terlibat ialah Jalan Gambir, Jalan Lebuh Java, Jalan Gambir / Jalan Lebuh Java.

“Peringkat kedua penutupan dan lencongan jalan akan dibuat bermula jam 4 petang ini sehingga majlis selesai, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Gambir, Jalan Lebuh Java, Jalan Gambir / Jalan Lebuh Java, susur Jalan Lebuh Wayang ke Jalan Main Bazaar, Lampu Isyarat Jalan Main Bazaar / Jalan Temple, susur Jalan Temple ke Jalan Wayang, susur Jalan Tun Abang Haji Openg ke Jalan Barrack dan susur masuk dari Jalan Tun Abang Haji Openg / Jalan Pearl ke Jalan Wawasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambutan Countdown 2024 akan dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kenamaan negeri, ketua jabatan negeri dan persekutuan serta para jemputan.

Katanya, orang ramai yang datang menyaksikan majlis ini adalah diingatkan agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan supaya tidak mengganggu kelancaran lalu lintas.

“Tempat meletak kenderaan awam yang disediakan ialah di Medan Pelita, Dewan Suarah, Sarawak Plaza, Bangunan UTC, Plaza Aurora dan Reservoir Park.

“Pihak Polis mengingatkan orang ramai yang mempunyai urusan di sekitar kawasan Waterfront supaya merancang dan menggunakan jalan alternatif ke lokasi dan sentiasa mematuhi arahan daripada pegawai / anggota Polis yang bertugas,” ujarnya.

Merbin berkata, pihak polis turut mengadakan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah bagi mencegah kejadian jenayah dan mengekalkan keselamatan awam.

“Operasi Bersepadu ini akan melibatkan semua elemen IPD seperti Bahagian Siasatan dan Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dan semua balai.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan menjalankan Op Mabuk bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan pengguna jalan raya dan lain-lain kesalahan di jalan raya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan