Search
Close this search box.
Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) yang dihasilkan berasaskan alga

Alga ‘permata’ Sarawak memacu pertumbuhan ekonomi

ByFebbright James

Penggunaan alga atau lumut sebagai bahan api alternatif dilihat mampu mengurangkan gas rumah hijau dan pembakaran api fosil yang berterusan.

Untuk itu, tidak hairanlah Sarawak menghasilkan tenaga baharu sebagai jalan alternatif menerusi penggunaan alga sebagai Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) bagi mengatasi masalah pencemaran udara yang semakin meningkat ketika ini.

Selain berupaya membantu Sarawak dalam mendepani cabaran perubahan iklim, penghasilan SAF berasaskan alga dilihat dapat memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak sekali gus menjadikan alga sebagai ‘permata’ baru Bumi kenyalang ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah berkata, Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan syarikat dalam dan luar negara untuk menjalankan kajian mengenai khasiat dan keupayaan alga atau lumut untuk dijadikan bahan api.

“Saya beri peruntukan untuk saintis buat kajian (alga) dengan kerjasama PETRONAS rupa-rupanya lumut mampu mengeluarkan hasil minyak yang boleh digunakan oleh kapal terbang dan saya sendiri telah mengujinya dengan menaiki pesawat yang menggunakan minyak ini ke Langkawi,” katanya.

Alga sebagai bahan api penerbangan mampan

Penanaman alga mampu menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen untuk memelihara alam sekitar yang kini semakin terjejas.

Biojisim alga juga boleh dihasilkan menjadi produk berkualiti tinggi dan yang paling penting mampu menghasilkan bahan api penerbangan mampan ataupun SAF.

PETRONAS Research Sdn Bhd (PRSB) dan SEDC Energy Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bekerjasama dalam penghasilan bahan api alternatif ini, termasuk pembiakan alga, penghasilan biojisim alga dan ekstrasi minyak mentah alga.

Ketua Penyampai Projek dan Teknologi SEDC Energy, Mohd Faizal Mohammad Amin

Ketua Penyampai Projek dan Teknologi SEDC Energy, Mohd Faizal Mohammad Amin memaklumkan penghasilan SAF berasaskan SAF ini bermula daripada penanaman alga yang menggunakan kaedah ‘open tank’.

“Untuk perlaksanaanya sekarang kita ada dua tempat iaitu satu di Demak, Kuching yang menjadi tempat penuaian sahaja. Manakala untuk proses mengekstrak minyak alga untuk penghasilan SAF kita mungkin akan lakukan di Bintulu,” ujarnya.

Menurut Faizal, beberapa faktor perlu diambil kira bagi menghasilkan SAF berasaskan alga kerana ia akan mempengaruhi pertumbuhannya.

“Untuk membangunkan alga, salah satu faktor yang diambil kira iaitu iklim dan sumber air yang bersih. Iklim Sarawak memang sesuai untuk membangunkan alga. Projek kita juga menggunakan air laut yang bersih di Sarawak ini. Jadi, sumber tenaga diperlukan di sini cukup untuk projek alga,” katanya.

Pengurus Besar (Pusat Kepakaran Lanjutan) Teknologi Kumpulan Dan Pengkomersilan Penyampaian Projek Dan Teknologi, PETRONAS ), Adam Nasir Nawi

Sementara itu, Pengurus Besar (Pusat Kepakaran Lanjutan) Teknologi Kumpulan Dan Pengkomersilan Penyampaian Projek Dan Teknologi, PETRONAS ) Adam Nasir Nawi memaklumkan, usaha menghasilkan SAF berasaskan alga secara besar-besaran akan mampu membantu sarawak mencapai sifar karbon menjelang 2050.

“Buat masa ini, kolaborasi antara PETRONAS dan SEDC Energy adalah tertumpu kepada fasa percubaan. Fasa ini amat penting untuk melihat sama ada teknologi ini ada potensi untuk dibangunkan pada skala yang lebih besar. Sekiranya fasa percubaan dapat mencapai matlamat seperti yang diharapkan, pembangunan yang lebih besar boleh mula dirancangkan dan dilaksanakan.

“Kami percaya, penyelidikan yang kami jalankan untuk penghasilan alga menjadi SAF mampu membantu Sarawak Energy Roadmap dan mencapai karbon sifar bersih menjelang tahun 2050,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi meskipun percubaan bagi penghasilan SAF berasaskan alga menunjukkan potensi yang baik dari sudut teknikal.

Ini bagi memastikan jumlah yang cukup untuk memenuhi permintaan industri penerbangan secara global.

Keadaan alga yang disemai akan sentiasa dipantau dan dituai apabila tiba waktunya.

“Kapasiti percubaan kami untuk penghasilan SAF dari alga adalah pada 10 liter sehari. Untuk mencapai tahap komersial, banyak cabaran yang perlu di atasi sebelum kami benar-benar pasti bahawa teknologi boleh dilaksanakan pada peringkat seterusnya. Di dalam teknologi alga dan pembuatan SAF, salah satu cabaran ialah skala pengeluaran diperlukan untuk memenuhi permintaan yang besar dari industri penerbangan.

“Begitu juga, cabaran kita ialah untuk memastikan harga pengeluaran SAF dapat berdaya saing dengan harga bahan api sedia ada yang dihasilkan dari sumber fosil,” katanya.

Proses penghasilan SAF berasaskan Alga

Teknologi penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) alga terbukti mampu menghasilkan tenaga baharu selain banyak memberi manfaat kepada alam sekitar.

Menurut Pensyarah Universiti Monash, Professor Chan Eng Seng memaklumkan penghasilan minyak alga ini tidak memerlukan proses yang banyak sebelum boleh digunakan.

Katanya terdapat tiga kaedah pembiakan alga iaitu penanaman menggunakan tangki, proses foto-bio-reaktor dan pembiakan di dalam kolam.

Alga akan disemai menggunakan satu hingga tiga kilogram benih alga mengikut saiz tangki dan akan dicampur menggunakan air laut dan kemudiannya dimasukkan ke dalam tangki.

Difahamkan, minyak alga mentah akan diekstrak dan kemudian akan ditapis sebelum dihasilkan menjadi SAF.

Pensyarah Universiti Monash, Professor Chan Eng Seng

“Pertama ialah proses pertumbuhan dan pembiakan alga supaya kita boleh mendapat biojisim algae yang mencukupi untuk penghasilan minyak alga. Proses kedua ialah proses penuaian biojisim alga iaitu kita mengumpulkan biojisim alga dengan mengurangkan kandungan air.

“Ketiga adalah pra rawatan alga dimana kita melemahkan dinding sel alga supaya kita boleh mengekstrakan minyaknya dengan senang manakala proses keempat adalah proses mengekstrak minyak dari biojsim alga dengan bahan pelarut. Proses kelima adalah proses pembersihan minyak mentah supaya kita boleh capai kualiti minyak yang diperlukan untuk penghasilan SAF.”

Tempoh matang bagi alga mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga lima minggu.

Proses penyemaian ini termasuk memastikan alga mendapat makanan yang mencukupi dan keadaan alga akan sentiasa dipantau bagi memastikan ianya dalam keadaan yang baik dan sihat.

Tangki penyemaian alga SEDC di Demak. Menggunakan konsep ‘open tank’

Apabila sudah matang, ia akan dituai melalui proses pengasingan alga dan air.

Seterusnya alga yang diasing akan dimasukkan ke unit pengekstrakan untuk pengeluaran minyak dari alga tersebut.

Minyak alga atau Crude Algae Oil (CAO) merupakan Drop-In Fuel yang akan dicampurkan dengan minyak kapal terbang sedia ada sekaligus menjadi Bahan Api Penerbangan Mampan sama seperti penghasilan biodiesel.

 

Peranan institusi pendidikan dalam memacu pembangunan sektor tenaga hijau

Setiap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan terutamanya dalam pembangunan sektor tenaga hijau dan boleh diperbaharui memerlukan tenaga kerja dan kepakaran untuk merealisasikannya.

Sehubungan itu, institusi pendidikan awam dan swasta perlu berganding bahu dalam melahirkan modal insan yang memiliki kemahiran untuk memenuhi keperluan dalam membangun sektor tenaga hijau.

Pengerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak, CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, CENTEXS sentiasa peka dengan keperluan semasa serta besedia melatih anak tempatan agar mahir dalam bidang baharu yang diterokai Sarawak seperti penghasilan SAF berasaskan alga.

Pengerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak, CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani

“Saya percaya dengan latihan yang CENTEXS sediakan, kita boleh menyokong pembangunan industri. Cuma yang menjadi kekangan ketika ini ialah sama ada kita mempunyai komuniti yang cukup atau tidak. Industri kita sangat besar jadi kita memerlukan ramai orang terlibat dan berminat mengambil peluang ini (latihan).

“Apa-apa sahaja kerajaan perlu dalam bidang-bidang ini kita (CENTEXS) selalunya akan terus serta merta untuk mengasah Kemahiran tenaga mahir,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Monash Kuala Lumpur, Professor Chan Eng Seng turut berpendapat bahawa perubahan iklim perlu diberi perhatian selain usaha untuk ke arah penghasilan tenaga kuasa hijau dan mampan harus giat dilaksanakan.

Justeru katanya, universiti perlu menyediakan kursus khas seprti penghasilan SAF serta Penggunaan Dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS) bagi melahirkan graduan yang pakar dalam bidang tersebut.

“Masalah perubahan iklim adalah masalah global yang sangat serius dan juga hangat diperkatakan. Jadi saya fikir universiti perlu menyumbang kepada penyelesaian ini mungkin dengan memperkenalkan kursus-kursus yang relevan seperti kursus berkenaan penyahkarbonan dan penangkapan karbon dan ini dapat memantapkan kemahiran pelajar-pelajar kita supaya mereka juga boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah perubahan iklim ini,” ujarnya.

Tapak penyemaian alga PETRONAS di Bangi

Ujar beliau, kebolehan institusi pendidikan awam dan swasta dalam melahirkan kepakaran dari graduan tempatan mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga mahir asing.

Pada masa sama universiti juga katanya perlu bekerjasama dengan pemain industri agar hasil kajian yang dilaksanakan di peringkat universiti dapat diaplikasikan untuk kegunaan industri tertentu.

Menerusi inisiatif ini, para pemegang taruh dan pemain industri akan melihat peluang yang besar di sarawak untuk melabur dalam industri teknologi alga.

Sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi sejajar dengan matlamat kerajaan sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan