Search
Close this search box.
Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kira-kira RM350 juta digunakan bagi membiayai pembinaan lima sekolah antarabangsa. Foto fail TVS

Sekolah antarabangsa: Pelaburan tinggi membangunkan modal insan berkualiti

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 29 Dis: Pembinaan lima sekolah antarabangsa merupakan pelaburan tinggi dalam pembangunan modal insan berkualiti oleh Kerajaan Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Menurutnya, pembinaannya sahaja menelan kos hampir RM70 juta untuk sebuah sekolah dan keseluruhan bagi lima sekolah ini, Kerajaan Sarawak membelanjakan kira-kira RM350 juta.

Kos operasinya pula lebih daripada RM15 juta setahun bagi setiap sekolah.

“Ini merupakan suatu pelaburan yang tinggi daripada pihak kerajaan semata-mata untuk melihat anak-anak kita dari luar bandar dapat menikmati pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya menerusi program bual bicara Dialog TVS bertajuk Dasar Pendidikan Sarawak Seiring Pembangunan yang disiarkan menerusi TVS, malam tadi.

Lima sekolah antarabangsa itu terletak di Petra Jaya yang sudah beroperasi, satu lagi di Kuching yang kini hampir siap, manakala tiga lagi bakal dibina masing-masing di Sibu, Bintulu dan Miri.

Menurutnya, usaha Kerajaan Sarawak mewujudkan lima sekolah antarabangsa adalah untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan.

Sekolah antarabangsa ini menggunakan sukatan pelajaran antarabangsa, iaitu ‘The International General Certificate Of Secondary Education’ (IGCSE) yang berpusat di University of Cambridge.

Kewujudan sekolah ini amat penting dalam memberi pendedahan terhadap pendidikan peringkat antarabangsa dan membuka peluang kepada pelajar yang berjaya memasuki universiti ternama di seluruh dunia.

“Apabila kita memberi peluang kepada pelajar khususnya di luar bandar dan dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah, maka mereka akan dapat bersaing.

“Ini merupakan suatu langkah yang paling bijak dan paling ‘noble’ untuk mewujudkan kesamarataan dalam kalangan pelajar untuk mendapat pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan