Search
Close this search box.
Norizan (kiri) mendengar penjelasan daripada pegawai pemeriksa Kereta Motor, Mohammad Junaidi Matrang (kanan) mengenai tahap tayar yang masih boleh digunakan semasa pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres di Terminal Bas di Jalan Pahlawan Sibu hari ini. Foto JPJ Sarawak

JPJ Sarawak periksa bas ekspres, utamakan keselamatan penumpang

SIBU, 23 Dis: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menjalankan pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres yang beroperasi di negeri ini sempena perayaan Hari Krismas untuk memastikan kenderaan berkenaan sentiasa selamat digunakan.

Pengarahnya, Norizan Jili berkata, pemeriksaan tersebut dijalankan setiap kali menjelang musim perayaan utama di Sarawak termasuk Hari Krismas agar orang ramai yang balik bercuti ke kampung halaman menggunakan bas ekspres sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Menurutnya, bagi musim perayaan Hari Krismas tahun ini pemeriksaan bas-bas ekspres di depo-depo syarikat pengusaha dilakukan sejak 19 Disember lalu selain pemeriksaan serupa di terminal-terminal bas di seluruh negeri.

“Kita minta pengusaha-pengusaha bas perlu memastikan bas-bas mereka sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

“JPJ Sarawak akan memastikan pemeriksaan ke atas bas-bas dilakukan sebelum bergerak ke destinasi-destinasi ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan melibatkan aspek-aspek fizikal serta teknikal dilakukan oleh pemeriksa-pemeriksa kereta motor (PKM) JPJ dan apabila semua aspek tersebut disahkan dalam keadaan baik serta berfungsi dengan baik, satu notis yang sah laku selama tujuh hari akan dikeluarkan dan ditampal pada cermin depan bas.

Katanya, notis tersebut akan menjadi rujukan kepada anggota-anggota penguatkuasa JPJ yang bertugas di lapangan dan menunjukkan bahawa bas ekspres itu sudah diperiksa manakala bagi bas ekspres yang tiada ditampal notis, PKM di lapangan akan membuat pemeriksaan serta-merta.

Selain itu, katanya, JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan memastikan pemandu-pemandu bas ekspres di negeri ini bebas daripada pengaruh dadah supaya setiap perjalanan sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Norizan berkata, selain memberi tumpuan kepada keadaan bas ekspres, JPJ Sarawak juga mengadakan operasi di seluruh negeri ini bagi memastikan pengguna-pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Jelasnya lagi, kerjasama semua pengguna jalan raya amat penting bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna-pengguna jalan raya supaya memandu dengan penuh berhemah dan jangan memandu terlalu laju walapun Sarawak sudah mempunyai lebuh raya yang elok tetapi terdapat beberapa kawasan belum siap sepenuhnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan