Search
Close this search box.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (kanan) berkongsi kesedihan dengan Mimi Julia Ismail, 50, (kiri) ibu pelajar Mohammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor hari ini. Foto Bernama

Pegawai kanan polis didakwa bunuh pelajar sekolah

ByBernama

IPOH, 18 Dis: Seorang pegawai kanan polis hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang memasuki mahkamah sambil kepala ditutup dengan kain, berbaju putih dan berseluar hitam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohd Nazri yang berpangkat DSP, didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Suspek kes langgar pelajar didakwa esok di bawah Seksyen 302 KK – AGC

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Raya (DPP) Azlina Rasdi (Ketua), DPP Khairul Azreem Mamat, DPP Wan Azimah Yaakob, DPP Afzainizam Abdul Aziz, DPP Saiful Akmal Mod Said, DPP Nasrul Hadi Abdul Ghani, DPP J.S. Geetha dan DPP Low Qin Hui.

Sementara tertuduh diwakili peguam Low Yap Loong.

Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh dan mahkamah menetapkan 7 Februari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan berkaitan, antaranya laporan kimia.

Pada 15 Disember, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki, dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Zaharif meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman tiga hari bermula Sabtu, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, abang mangsa Zarul Fitri, 29, dilihat berlinangan air mata ketika mengikuti sesi pertuduhan tersebut.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi perkarangan mahkamah apabila keluarga Muhammad Zaharif tiba bagi mengikuti pendakwaan kes berkenaan.

Bapa saudara mangsa Abdul Razak Judin, 48, ketika ditemui pemberita di luar perkarangan mahkamah berkata, beliau bersama dua lagi saudara yang lain, hadir bagi mendengar pertuduhan kes hari ini.

“Setakat ini ibu bapa dan keluarga mangsa, Alhamdulillah sudah boleh menerima apa yang telah berlaku dan kita semua reda dengan pemergian arwah,” katanya.

Puluhan anggota polis turut dilihat mengawal sekitar perkarangan mahkamah, dan keadaan berada dalam keadaan terkawal.

Semalam, Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan memaklumkan pegawai kanan polis terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, dengan pihaknya mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwa suspek atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan