Search
Close this search box.
Hasbi bersama tetamu lain meraikan Majlis Pra Krismas Daerah Limbang 2023 di Dewan St Edmund hari ini. Foto TVS

Manfaat teknologi perkukuh keharmonian antara kaum – Hasbi

LIMBANG, 16 Dis: Perkembangan teknologi digital tanpa sempadan perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam mengukuhkan lagi keharmonian pelbagai kaum di negeri ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penggunaan teknologi ini jika disalahgunakan boleh merosakkan perpaduan yang sedia terjalin sejak dulu lagi.

Ahli Parlimen Limbang itu menjelaskan lagi ada pihak yang menyebarkan kebencian dan pergaduhan melalui fitnah yang disebar dalam media sosial.

“Dalam penggunaan teknologi ini ada juga penyangak yang menggunakannya untuk menyebarkan fitnah, menyemarakkan api menghasut untuk perpecahan sehingga kita bergaduh.

“Tidak mempercayai antara kita, syak wasangka dan sebagainya sehinggakan kadang-kadang hendak dekat pun kita tidak berani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Krismas Daerah Limbang 2023 di Dewan St Edmund hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.

Hasbi berkata, perkembangan tersebut menjadi cabaran yang dihadapi pada zaman moden ini terutama kepada ketua-ketua agama.

Jelasnya, mereka perlu mempunyai maklumat untuk menangkis segala tohmahan dan fitnah yang disebarkan dalam media sosial.

“Jadi inilah bahayanya perkembangan tersebut dan ia merupakan cabaran kita pada hari ini.

“Bagi pendakwah-pendakwah agama, ketua-ketua agama kita, memang perkara ini semakin mencabar,” katanya lagi.

Tambahnya, rakyat Sarawak perlu bersyukur kerana dapat menikmati keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama hasil amalan yang diamalkan generasi terdahulu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Sarawak turut menolak budaya ekstrim yang boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat  selama ini.

“Kita bersyukur kepada tuhan kerana rakyat kita di Sarawak ini dan khususnya di Limbang ini hidup rukun damai, hubungannya dan kerjasamanya rapat.

“Ini adalah hasil daripada apa yang diamalkan oleh saudara-saudara kita yang terdahulu daripada kita,” kata beliau lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan