Search
Close this search box.
Kerajaan akan melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk perjalanan tiga hari sebelum perayaan. Foto hiasan Envato

Subsidi tiket penerbangan tiga hari sebelum perayaan – Loke

PUTRAJAYA, 15 Dis: Kerajaan akan melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk perjalanan tiga hari sebelum perayaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata inisiatif itu akan dimulakan pada perayaan Krismas yang disambut 25 Dis ini dengan pembelian bermula esok pukul 12.01 tengah malam bagi perjalanan tiga hari sebelum perayaan iaitu pada 22, 23 dan 24 Dis.

Subsidi tiket penerbangan sempena sambutan Krismas

Dasar sama akan diteruskan tahun hadapan bagi perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas dengan pembelian tiket dibuka pada 1 Januari 2024 pukul 12.01 tengah malam, katanya.

“Harga tiket penerbangan kelas ekonomi sehala yang disubsidikan ini tidak termasuk cukai dan fi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke berkata bantuan subsidi itu dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri pada 13 Dis lepas ekoran keluhan tentang harga tiket kapal terbang yang tinggi sebelum musim perayaan terutama bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan yang menetap, bekerja dan belajar di Semenanjung.

Bagi tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 itu, Loke berkata kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal dengan harga maksimum tiket penerbangan itu.

Memberikan contoh, Loke berkata jika harga tiket penerbangan ekonomi RM1,500 sehala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 23 Dis, pembeli hanya membayar RM599, manakala RM901 akan ditampung kerajaan.

Loke berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dipertanggungjawabkan sebagai urus setia dan urusan pembayaran kepada syarikat penerbangan bagi inisiatif bantuan subsidi itu.

Tanpa memberikan implikasi kewangan sebenar yang terlibat, beliau berkata kerajaan dijangka menampung jutaan ringgit untuk setiap musim perayaan dan orang ramai boleh membeli tiket penerbangan melalui laman sesawang syarikat penerbangan domestik antaranya AirAsia, Firefly, Malaysia Airlines Bhd dan Batik Air.

Sementara itu, Loke berkata Mavcom telah memudah cara 114 penerbangan tambahan antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata strategi itu menunjukkan kesan yang positif apabila harga dari Kuala Lumpur ke destinasi utama di Sabah dan Sarawak turun antara lima hingga 33 peratus setakat pagi tadi berbanding minggu lepas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan