Search
Close this search box.
Uggah Douglas (dua kiri) menekan klaxon untuk memulakan salah satu perlumbaan sempena Regatta Dalat 2023.

Kerajaan Sarawak luluskan RM90.5 juta bina jalan di Dalat

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 10 Dis: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM90.5 juta bagi pembinaan Jalan Kampung Medong Seberang/ Kampung Kekan Seberang yang terletak di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tender untuk projek berkenaan dijangka akan dimulakan pada awal Januari tahun hadapan selepas peruntukan diluluskan baru-baru ini.

Kata beliau, ini merupakan projek tertangguh dan pada mulanya, dana hanya disediakan untuk pembinaan jambatan.

“Namun untuk apa ada jambatan jika tiada jalan raya?

“Saya masih ingat ketika melawat tapak projek pada tahun lepas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah, orang ramai meluahkan kekecewaan dengan menulis komen di papan tanda.

“Ia boleh difahami kerana pembinaannya kadang-kadang tertangguh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Regatta Dalat 2023 (Pesta Bersaug Dalat 2023) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah dan ADUN Tellian, Royston Valentine.

Mengulas lanjut, Douglas Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak memaklumkan bahawa projek Jalan Kampung Kekan Seberang/ Kut Muara/ Sungai Pinang/ Bungan Besar/ Rassau kini dalam peringkat reka bentuk awal.

Katanya, selepas projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 itu siap, ia akan memendekkan masa perjalanan dari Dalat ke Sibu kepada kira-kira satu jam melalui jalan penghubung lain dari Rassau.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Galeri Warisan Melanau pula, Douglas Uggah berkata, sejumlah RM14.5 juta telah diperuntukkan.

“Kerajaan sedang dalam proses melantik perunding untuknya.Bagi Projek Tepi Laut Dalat Fasa Tiga, kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM4.964 juta.

“Projek ini berada di peringkat reka bentuk dan kami berharap untuk memanggil tender pembinaannya menjelang suku pertama 2024,” jelasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan