Search
Close this search box.
Pemain JDT meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto: Bernama

JDT juara Piala Malaysia 2023, cipta ‘double treble’

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati jangkaan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 pada perlawanan akhir edisi ke-97 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini pada Jumaat malam.

Muhamad Feroz Baharudin dan Arif Aiman Mohd Hanapi masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua selepas Ivan Mamut menafikan jaringan pembukaan JDT menerusi Bergson Da Silva pada babak pertama untuk mengesahkan kemenangan skuad Harimau Selatan.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama Ketua Jurulatih JDT Esteban Solari meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto: Bernama

Kejayaan muncul juara Piala Malaysia buat kali keempat itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengesahkan kejayaan treble buat musim kedua berturut-turut selepas dinobatkan juara Piala FA Julai lalu dan merangkul kejuaraan Liga Super September lepas.

JDT turut muncul juara Piala Sumbangsih dengan mengatasi Terengganu 2-0 pada aksi pembukaan musim ini, Februari lepas.

Sebelum ini, skuad Harimau Selatan memenangi Piala Malaysia pada 2017, 2019 dan 2022.

Pada final yang disaksikan 80,550 penonton malam ini, Da Silva meletakkan JDT di depan seawal minit keenam apabila menyempurnakan penalti dihadiahkan pengadil S. Logeswaran selepas pertahanan Terengganu, Muhammad Azam Azmi Murad dipersalahkan kerana menjatuhkan Fernando Forestieri.

Ia adalah gol ke-11 Da Silva dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Menyedari aksi menjadi lebih sukar, skuad Penyu bimbingan Tomislav Steinbruckner tenang mengatur strategi sebelum berjaya memerangkap benteng pertahanan JDT yang membawa kepada gol penyamaan sambil ketua pasukan Jordi Amat terselamat daripada diperintah keluar padang susulan kesalahannya.

Namun, tindakan pemain kebangsaan Indonesia itu yang menjatuhkan Mamut tidak memberi pilihan kepada Logeswaran selain menghadiahkan sepakan penalti dengan ia tenang disemprunakan Mamut untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-21.

Penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin memastikan JDT gagal menambah jaringan menuju rehat apabila bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan antaranya rembatan deras Da Silva pada minit ke-36 dan rembatan dari jarak dekat Arif Aiman pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Esteban Solari tampil lebih agresif dalam memburu gol kedua, namun Terengganu hampir menambah jaringan yang menyaksikan rembatan Mamut dari jarak dekat berjaya ditampan keluar penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-65.

Bagaimanapun, selepas beberapa siri serangan gol yang dicari-cari JDT akhirnya tiba apabila pemain gantian Muhamad Feroz menanduk masuk bola sepakan penjuru Heberty Fernandes pada minit ke-73.

Seakan perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 berpihak JDT, Logeswaran sekali lagi menghadiahkan penalti buat anak buah Solari dengan giliran Arif Aiman mencetak nama sebagai penjaring pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Penalti diberikan selepas Arif Aiman dijatuhkan oleh Shahrul Nizam Ros Hasni.

Kekalahan Terengganu itu menyaksikan mereka gagal menamatkan kemarau 22 tahun menjuarai Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2001.

Sebagai rekod, Kedah menjadi satu-satunya pasukan melakukan ‘double treble’ apabila menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada musim 2006-07 dan 2007-08.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan