Search
Close this search box.
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan pemberian subsidi bagi membolehkan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) terus dinikmati oleh penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak, Dewan Negara diberitahu hari ini. Foto fail: Bernama.

Kerajaan terus beri subsidi pastikan RAS dinikmati penduduk pedalaman Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan pemberian subsidi bagi membolehkan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) terus dinikmati penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Program Keenam di bawah Agenda Kedua: Kemajuan Sabah dan Sarawak memperuntukkan subsidi tahunan sebanyak RM209 juta bagi menampung kos operasi dan sewa pajakan pesawat untuk perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, setelah rundingan pengambilalihan MASWings Sdn Bhd oleh Hornbill Skyways Sdn Bhd yang masih dirundingkan sekarang selesai, MOT bertanggungjawab menetapkan dasar Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) dan kriteria kelayakan yang diperlukan.

“Pada masa sama, MOT akan terus berperanan mentadbir dan menguruskan obligasi perkhidmatan awam RAS,” katanya menjawab pertanyaan Senator Abun Sui Anyit yang ingin tahu peranan yang akan dimainkan Kerajaan Persekutuan setelah MASWings di bawah Malaysia Aviation Group diambil alih oleh Hornbill Skyways pada sesi jawab lisan di Dewan Negara di sini, hari ini.

Pada 27 Oktober lepas, Hornbill Skyways dan Malaysia Aviation Group yang memiliki MASWings memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pemerolehan saham dalam MASWings bagi pengurusan RAS.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, MoU itu akan membuka jalan ke arah perbincangan lebih terperinci antara kedua-dua pihak untuk memastikan negeri itu mendapat pegangan majoriti dalam MASWings.

Sementara itu Loke berkata, MOT sedang meneliti mekanisme membolehkan sejumlah subsidi diberi bagi memastikan kadar harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dapat dikawal atau dikurangkan untuk beberapa hari sebelum sesuatu perayaan.

Beliau berkata, isu itu berlainan dengan RAS kerana subsidi yang diberikan ialah untuk pengoperasian perkhidmatan udara di pedalaman Sabah dan Sarawak tetapi untuk sektor penerbangan dari Semenanjung ke kedua-dua negeri itu, tiada pemberian subsidi oleh kerajaan kerana ia tidak tertakluk dalam RAS.

“Kementerian amat memahami isu yang dibangkitkan berhubung harga tiket penerbangan yang tinggi pada musim perayaan dan untuk itu kami sedang meneliti mekanisme seperti memberikan sedikit subsidi untuk kurangkan kos harga tiket penerbangan.

“Selain itu, kementerian juga meminta syarikat penerbangan menambah jumlah penerbangan pada waktu malam sebagai antara inisiatif mengurangkan kos tiket kapal terbang antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan