Search
Close this search box.
Dato Sri Lee Kim Shin (empat kiri) menerima cenderamata disampaikan Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang (tiga kiri). Foto: TVS.

Pelihara keharmonian kaum, tolak ideologi ekstremis – Abang Johari

MIRI, 3 Dis: Masyarakat di Sarawak diingatkan terus bekerja keras memelihara, menjaga dan meningkatkan keamanan dan keharmonian di kalangan kumpulan yang berbilang etnik, budaya dan agama sempena perayaan Krismas ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Open berkata, pendidikan yang progresif, meluas dan disemai dengan nilai moral dan etika yang baik merupakan langkah yang perlu dilakukan bagi mengekalkan keamanan dalam kepelbagaian kaum.

“Krismas adalah mengenai keamanan yang sepatutnya mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh leka tetapi terus bekerja keras untuk memelihara, menjaga dan meningkatkan keamanan dan keharmonian di kalangan kumpulan kita yang berbilang etnik, budaya dan agama.

“Kita menolak semua ungkapan ideologi ekstremis yang menjatuhkan orang lain yang berbeza dengan cara kita. Salah satu caranya ialah memastikan pendidikan kita progresif, meluas dan disemai dengan nilai moral dan etika yang baik,” katanya dalam ucapan perasmian Perarakan Krismas Bandaraya Miri 2023 di Miri City Fan pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin yang mewakilinya pada majlis itu.

Tambahnya, Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) di bawah Kerajaan Sarawak juga akan terus membantu dan menyokong pemupukan kepercayaan agama, pendidikan dan aktiviti yang mempamerkan kemajuan, kemakmuran dan keamanan dalam negeri.

“Melalui UNIFOR dan dasar negeri kita, saya akan memastikan Sarawak mempamerkan kemajuan, kemakmuran dan keamanan kepada seluruh Malaysia dan rantau ini.

“Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pemupukan kepercayaan agama, pendidikan dan aktiviti yang sihat. Perarakan Krismas Bandaraya Miri adalah aktiviti sedemikian, dipaparkan juga pada kalendar Pelancongan Negeri kita.

“UNIFOR telah memperuntukkan sebidang tanah dan memberikan dana untuk Pusat Ekumenikal Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) di Miri By-Pass,” jelasnya lagi.

Sekita 40,000 orang dari 14 gereja terlibat dalam perarakan Krismas tersebut meskipun dalam suasana hujan di Miri.

Jawatankuasa penganjur Perarakan Krismas Bandaraya Miri bersama semua gereja Miri juga mengumpul RM30,000 sebagai Amal Krismas untuk enam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Perkhidmatan Paliatif Miri (PCAM), Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri, Persatuan Orang Cacat Sarawak (POCS), Pusat Pemulihan Dadah Kenosis (Pusat Lelaki), Persatuan Kesihatan Mental Miri dan Malaysia Prison Fellowship Miri.

Pada masa yang sama, Premier Sarawak juga memberi sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Jawatankuasa Penganjur Perarakan Krismas Bandaraya Miri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan