Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada hari ini. Foto: TVS

Lebih RM1 juta dirampas daripada 8 premis perniagaan perkhidmatan wang haram di Sarawak

KUCHING, 29 Nov: Wang tunai berjumlah RM1,039,581 dan mata wang Rupiah berjumlah IDR1,116,000 berjaya dirampas dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap pengendali perniagaan perkhidmatan wang secara haram di Sarawak di lapan premis yang terlibat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua premis tersebut diserbu secara serentak yang melibatkan dua premis di Sibu, dua premis di Selangau dan dua premis di Batu Niah serta masing-masing satu premis di Mukah dan Bekenu.

“Wang tunai yang dirampas daripada operasi bernilai RM1 juta daripada premis-premis yang terlibat dan 17 individu (tempatan) telah dikenal pasti untuk dipanggil bagi sesi rakaman keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching pada Rabu yang turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata.

Jelas Ayob lagi, aktiviti kiriman wang secara haram ini melibatkan destinasi ke Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina yang mempraktikkan percampuran (co-mingling) dengan aktiviti perdagangan yang sah.

“Ciri-ciri pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram berkenaan mendapati mereka mengamalkan percampuran dengan aktiviti perdagangan yang sah.

“Misalnya, perniagaan telekomunikasi dan perniagaan runcit, serta beroperasi di kawasan yang mempunyai jumlah pekerja asing yang tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengendali perniagaan-perniagaan perkhidmatan kewangan yang tidak berlesen ini disiasat kerana disyaki menyediakan perkhidmatan kiriman dan pertukaran wang tanpa lesen.

Ayob berkata, ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011- (APPW) dan kes ini berkemungkinan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sementara itu, pihaknya akan menjalankan siasatan selari, melihat perkaitan antara pengendali haram berkenaan dengan pelbagai jenayah berat yang lain seperti jenayah terancang termasuklah perjudian haram dan penipuan.

“Ini ekoran peranan pengendali tersebut mungkin didorong sebagai pemudahcara dalam membantu aktiviti-aktiviti haram lain melalui pergerakan dana.

“Bagi tujuan ini, suatu analisis sedang dilaksanakan ke atas urus niaga tunai serta transaksi kewangan mencurigakan melibatkan 39 akaun bank dengan jumlah dana RM47 juta,” jelasnya.

Untuk rekod, pemindahan wang secara haram keluar negara telah meningkatkan saiz ekonomi bayangan yang dianggarkan sekitar 18 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu anggaran RM275 bilion.

Antara aktiviti jenayah kewangan yang dikesan menyumbang kepada ekonomi bayangan adalah kesalahan tanda dagangan, pemindahan dana ke luar negara menerusi saluran tidak sah dan gejala rasuah.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk tidak berurusan atau melaksanakan sebarang urus niaga pertukaran mata wang atau kiriman wang dengan mana-mana pengendali perniagaan perkhidmatan atau ejen-ejen yang tidak mempunyai lesen. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan