Search
Close this search box.
Pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong ke Malaysia mulai 1 Dis ini merupakan langkah untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala selain merangsang sektor ekonomi dan pelancongan. Foto hiasan, Envato.

Pengecualian visa 30 hari memperkukuh hubungan dua hala, ekonomi dan pelancongan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong ke Malaysia mulai 1 Dis ini merupakan langkah untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala selain merangsang sektor ekonomi dan pelancongan di negara ini.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Chapter Perak Law Weng Sum berkata inisiatif kemasukan tanpa visa ini tepat pada masanya bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2024 sekali gus dapat menggalakkan pelancong dari China datang ke Perak.

“Selain itu, inisiatif ini juga berpotensi menarik minat pelabur China untuk melabur dalam bidang perniagaan dan sektor lain, serta membolehkan mereka tinggal lebih lama di Malaysia untuk menerokai pelbagai budaya dan tempat pelancongan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Selaras dengan kemasukan tanpa visa, beliau berkata MCTA Chapter Perak telah bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Tourism Perak untuk mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024.

“Persatuan juga telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Persatuan Pelancongan Nanning dari China baru-baru ini, bagi memudahkan pertukaran sumber dan pelancong antara Perak dan Nanning,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kemasukan tanpa visa itu merupakan langkah positif diambil oleh kerajaan untuk memulihakan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata kerajaan boleh memanfaatkan ringgit yang sedang lemah dan menterjemahkannya kepada peluang untuk meningkatkan serta menggalakkan perbelanjaan oleh pelancong dari negara yang menikmati kemasukan tanpa visa ke Malaysia.

“Jelas sekali, ringgit yang lemah akan menarik pelancong asing ke Malaysia dan dengan melonggarkan beberapa peraturan, ia mungkin menyebabkan lebih ramai pelancong masuk ke negara ini.

“Oleh itu, kami mungkin perlu mempamerkan nilai jualan seperti kepelbagaian budaya dan naratif sejarah menjadikan mereka (pelancong) melihat Malaysia sebagai tempat pelancongan yang menarik,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis dalam semangat strategic partnership hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun, tahun depan.

Beliau berkata ia adalah tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari Negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan.

Pengecualian visa selama 30 hari itu kini, turut dinikmati oleh lapan negara ASEAN bagi tujuan lawatan sosial, pelancongan dan perniagaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan