Search
Close this search box.
Dayang Siti Nurzailyn bersama suaminya, Ahmad Faris berkongsi saat manis apabila berjaya menamatkan PhD serentak di UKM, kelmarin. Foto, Dayang Siti Nurzailyn.

Graduan dari Petra Jaya terima tesis cemerlang konvokesyen UKM, pulang ke Sarawak buka syarikat teknologi

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Kejayaan menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) pada masa ditetapkan serta berjaya meraih anugerah tesis cemerlang pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-51 kelmarin nyata memberi kepuasan tersendiri buat Dr Dayang Siti Nurzailyn Abang Shamsudin.

Graduan dari Kampung Demak Baru, Petrajaya, Sarawak ini berkata, dia berdepan pelbagai cabaran ketika menyiapkan PhD Kejuruteraan Kimia dan Bioproses termasuk kekangan masa untuk menjalankan kajian berikutan pandemik COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berjaya mencapai impian menamatkan pengajian peringkat tinggi, Dayang Siti Nurzailyn berkata, dia tidak mahu bekerja dengan syarikat antarabangsa atau bergelar pensyarah seperti kelaziman bagi pemegang PhD.

Sebaliknya wanita ini nekad mahu menabur bakti di Bumi Kenyalang selepas lama merantau di Semenanjung Malaysia dan Amerika Syarikat kerana menuntut ilmu.

“Saya mahu menggunakan ilmu yang dimiliki untuk menyumbang dalam teknologi boleh baharu dan ekonomi hijau yang diberi perhatian oleh Kerajaan Sarawak.

“Saya telah menubuhkan syarikat firma perunding, Green Terra Consulting di Sarawak baru-baru ini.

“Ini selaras dengan aspirasi Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang memberi fokus kepada tenaga boleh baharu, jadi saya ingin menjalankan kajian di Sarawak supaya lebih banyak teknologi berkenaan dapat diperkenalkan,” katanya kepada TVS baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Kimia) dari Purdue University, Indianapolis, Amerika Syarikat ini berkata, kajian berkenaan penting kerana dapat menyumbang kepada pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) di Sarawak.

“Ini seterusnya boleh memberi manfaat kepada rakyat Sarawak secara keseluruhan, menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan menjadikan Sarawak sebagai wilayah yang termaju dan berteknologi tinggi,” tambahnya.

Sementara itu, hari graduasinya turut bermakna apabila menerima skrol PhD bersama suaminya, Dr Ahmad Faris Mohd Fekeri yang turut berjaya menamatkan pengajian dalam bidang sama.

Menariknya, mereka tidak pernah ‘terpisah’ ketika mengikut pengajian tinggi kerana menjadi rakan sekuliah di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Malaysia dan menyambung pengajian sarjana mereka dalam bidang Kejuruteraan Kimia (Pengkhususan Tenaga Boleh Baharu) di UKM.

Ditanya mengenai kepentingan kajian PhD yang dilakukan, wanita ini menjelaskan, penyelidikan itu untuk mengenalpasti risiko dan tahap keselamatan sebelum sesuatu teknologi tenaga boleh baharu boleh diperkenalkan di Malaysia.

“Selain faktor seperti kecekapan dan ekonomi, aspek keselamatan juga harus dikaji sebelum sesuatu teknologi itu dapat diimplementasi. Ini adalah penting untuk mengelakkan kemalangan yang dapat memberi kesan kepada infrastruktur yang telah dibina, kesan terhadap ekonomi negara, malahan meragut ribuan nyawa seperti yang telah berlaku sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, kajian yang dilakukan itu dapat mengenalpasti risiko-risiko yang disebut dan seterusnya membolehkan reka bentuk teknologi diubah agar lebih selamat.

Sementara itu dia turut berterima kasih kepada penyelianya, Prof Madya Dr Masli Irwan Rosli yang banyak memberi bimbingan untuk menjalankan penyelidikan PhD.

“Penyelia memahami kekangan yang saya dan suami tempuhi iaitu kami jalankan kajian dalam tempoh terhad kerana tidak dapat datang ke makmal untuk menjalankan penyelidikan berikutan PKP.

“Selepas PKP berakhir, barulah kami mendapat kesempatan untuk menjalankan kerja yang telah tertangguh dan ini mengakibatkan beban kerja bertambah dengan banyak,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan