Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof pada Program Trek Komoditi Industri Perkayuan (Ladang Hutan) Sarawak bagi Projek Model Ladang Hutan sempena Trek Komoditi Zon Sarawak di Hutan Simpan Sabal, Simunjan, hari ini. Foto: TVS

Sarawak berjaya buktikan mampu hasil produk kayu mampan – Fadillah

ByAhmad Burhanuddin

SIMUNJAN, 26 Nov: Sarawak berjaya membuktikan usaha dalam menghasilkan produk-produk kayu yang mampan dan mematuhi syarat kemampanan sepenuhnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, usaha itu bukan sahaja dapat menarik pelaburan pelabur dari Semenanjung Malaysia, malah juga mampu menarik pelabur dari luar negara.

“Saya dimaklumkan pihak industri di Semenanjung Malaysia khususnya industri perabot memang melihat Sarawak sebagai tempat di mana mereka boleh mendapat bekalan bahan mentah.

“Sebab itu sebahagian mereka sebenarnya bersedia untuk memindahkan semua kilang-kilang mereka ke Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Trek Komoditi Industri Perkayuan (Ladang Hutan) Sarawak bagi Projek Model Ladang Hutan sempena Trek Komoditi Zon Sarawak di Hutan Simpan Sabal di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Sarawak mempunyai tanah yang amat luas dan banyak pendekatan dan strategi yang dapat diwujudkan dalam usaha meningkatkan pembangunan keseluruhan ladang hutan di negeri ini.

“Sarawak sudah membuktikan sekarang ini berada di tangga pertama (dalam penanaman pokok), tahun depan kita boleh mencapai sasaran 35 juta pokok ditanam.

“Sudah tentu kita tidak berhenti setakat ini sahaja, kita juga perlu memastikan penglibatan lebih ramai pemain industri supaya lebih banyak pokok ditanam bagi tujuan kegunaan mereka,” katanya.

Fadillah turut menambah, hal ini kerana hutan simpan kekal tidak boleh ditebang dan perlu dijaga dalam apa-apa keadaan sekali pun.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Simon Sinang Bada. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan