Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anggota APM Sarikei melakukan pemantauan ke atas kejadian gelunsuran tanah bukit berhampiran Rumah Mariam Jilan, Jalan Selalang pada petang Selasa. Foto: APM Sarikei

Penduduk kawasan cerun bukit diingat sentiasa berwaspada

SARIKEI, 22 Nov: Penduduk rumah panjang khususnya yang mendiami kawasan berhampiran cerun bukit di daerah ini, diingatkan supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak risiko tanah runtuh.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan Pertahanan Awam, Shahrol Azizi Zaidi berkata, penduduk perlu sentiasa peka dengan keadaan persekitaran tempat tinggal mereka ketika berlaku hujan lebat yang berterusan.

Kewaspadaan itu katanya, amat penting kerana banyak rumah panjang khususnya di kawasan pedalaman Sarikei terletak berhampiran cerun bukit.

“Kami APM mewakili seluruh agensi keselamatan, jawatankuasa bencana bahagian dan daerah ini, ingin menasihatkan penduduk agar sentiasa berhati-hati.

“Setiap penduduk rumah panjang ini juga perlu menyimpan nombor mana-mana pasukan keselamatan supaya memudahkan mereka berhubung jika berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan keselamatan kini memberi tumpuan khas, selain meningkatkan pemantauan khususnya di lokasi hotspot banjir dan tanah runtuh di seluruh daerah Sarikei.

Menurutnya, langkah berjaga-jaga itu amat penting demi memastikan keselamatan seluruh penduduk di kawasan terbabit.

“Bagi pihak APM Sarikei pula, anggota kita sentiasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa sahaja.

“Sehubungan itu, saya memohon kerjasama masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan bagi memudahkan kita melaksanakan operasi menyelamat. Kerjasama semua pihak juga amat penting,” katanya.

Setakat semalam, satu kejadian gelunsuran tanah dilaporkan berlaku berhampiran Rumah Mariam Jilan, Jalan Selalang.

Kejadian bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemusnahan atau kemalangan jiwa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan