Search
Close this search box.
Beberapa kediaman baharu giat dibina di Kuala Lumpur. Foto hiasan, Envato.

Parlimen: Skim Jaminan Kredit Perumahan RM10 bilion ‘terpakai’ untuk beli rumah lelongan

ByLuqman Muhammad

KUALA LUMPUR, 21 Nov: Inisiatif i-Biaya di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 tidak terhad kepada pembelian rumah baharu sahaja.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah berkata, bantuan pinjaman itu boleh digunakan untuk membeli rumah sedia ada atau rumah lelongan.

Kata beliau, menerusi inisiatif berkenaan, kerajaan memberikan jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000 membabitkan penambahan peruntukan sehingga RM10 bilion untuk memanfaatkan 40,000 peminjam.

“Kerajaan sentiasa komited membela nasib rakyat dan telah menyediakan inisiatif pembiayaan bagi menggalakkan pemilikan rumah di seluruh negara.

“Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji atau Takaful Gadai Janji, yuran guaman dan yuran penilaian,” katanya pada Sidang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan oleh Mohd Sany Hamzan (Pakatan Harapan – Hulu Langat) yang meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan usaha kementerian bagi memastikan setiap rakyat dalam negara ini mampu untuk memiliki rumah sendiri berdasarkan kepada pendapatan mereka serta sistem pembiayaan untuk mereka yang tidak mendapat pembiayaan institusi kewangan.

Dalam pada itu Akmal berkata, Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) turut dilaksanakan bagi memberikan pengecualian atau peremitan duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi harga rumah sehingga RM1 juta untuk pembeli rumah pertama.

Kata beliau, ia terikat kepada perjanjian jual beli yang disempurnakan bermula 1 Jun 2022 hingga 31 Disember 2023.

“Terdapat dua kategori di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Dimiliki dan PPR Disewa yang dikhaskan kepada golongan B40,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan