Search
Close this search box.
Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Randau Ahli Majlis Bersama Komuniti Tahun 2023. Foto: TVS

JPBD Limbang terima 5 bot, siap siaga hadapi banjir

LIMBANG, 21 Nov: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang menerima lima buah bot sebagai kemudahan bagi persiapan untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku bermula bulan ini, November hingga Mac tahun depan.

Pengerusi JPBD Limbang yang juga Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal berkata, aset berkenaan telah diperuntukan disediakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebagai persiapan menghadapi banjir di sini.

“Bagi daerah Limbang setakat ini, kita telah pun menerima lima buah bot yang disediakan JPBN Sarawak. Dua buah bot adalah untuk Lawas, satu untuk pihak Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan satu lagi diletak di bawah Pejabat Residen.

“Dengan adanya kelengkapan dan aset-aset yang telah kita terima ini, sekurang-kurangnya ia memberi kekuatan lagi kepada agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana ini di Limbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program Randau Ahli Majlis Bersama Komuniti Tahun 2023 di Dewan Kampung Bunga Raya di sini, pada Selasa.

Turut hadir Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL), Kaunselor Sufian Mohat, Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot dan Setiausaha MDL, Petrick Linggi Taboh.

Sementara itu, katanya semua agensi penguatkuasa seperti polis, bomba, APM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah diarahkan untuk melakukan persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir.

“Kerjasama dan koordinasi antara agensi terlibat penting bagi memastikan persiapan di peringkat daerah dilaksanakan serta-merta,” ujarnya.

Sulaiman menjelaskan lagi, JPBD Limbang dalam mod bersedia dan akan diaktifkan bila-bila masa apabila menerima laporan banjir di daerah ini.

Sebelum ini, APM Daerah Limbang telah mengenal pasti sebanyak 53 kawasan panas dan berisiko banjir di daerah berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata kawasan-kawasan itu merangkumi Batu Danau, Medamit, Kubong dan juga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan