Search
Close this search box.

DUN: Sarawak negeri pertama miliki Undang-Undang Pelepasan Karbon

ByAmirah Shawel

KUCHING, 21 Nov: Kelulusan Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 Sarawak semalam, menjadikan negeri ini sebagai yang pertama untuk memiliki undang-undang sedemikian di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan-Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, RUU itu adalah daya usaha yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Rang undang-undang ini dirangka untuk melindungi alam sekitar Sarawak dengan melaksanakan strategi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya ketika menggulung rang undang-undang itu sebelum diluluskan pada persidangan DUN, semalam.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan panel penasihat untuk pelaksanaan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), kredit karbon dan penentuan harga.

Beliau berkata, kredit karbon yang dikeluarkan untuk projek yang menyumbang kepada pengurangan kesan perubahan iklim di negeri ini akan dilaporkan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ini juga termasuk pengurangan pelepasan karbon yang dicatatkan. Laporan itu akan dimasukkan ke dalam Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) Malaysia untuk dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC),” katanya.

Menurutnya, RUU itu bertujuan menggalakkan aktiviti penangkapan dan penyimpanan karbon selain mengurangkan kesan perubahan iklim, selaras dengan teras utama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 iaitu Kelestarian Alam Sekitar.

Beliau berkata, RUU berkenaan juga memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk turut serta dalam projek mitigasi kesan pemanasan global, malah akan memperoleh kredit karbon atas usaha yang dilakukan.

“Aktiviti-aktiviti ini akan membolehkan negeri mempunyai sumber pendapatan baharu yang akan meningkatkan keupayaan negeri ke arah membangunkan negeri secara mampan dari segi ekonomi,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan