Search
Close this search box.
(dari tiga kanan) Pengurus Kanan untuk Perkhidmatan Projek SEB, Sharina Bohari, Pengurus Besar SEB Baleh HEP, Tan Hang Kiak, Pegawai Daerah Bukit Mabong, Calvin Ligong dan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Koh, Peter Kedit merakam kenangan selepas majlis perasmian festival kebudayaan ‘Pesta Main Adat Asal’ dan kempen penanaman pokok, hari ini. Foto: Alex Teo (TVS).

SEB dekati komuniti Baleh, pelihara budaya dan alam sekitar

ByRegina Lee

Baleh, 18 Nov: Sarawak Energy Berhad (SEB) mendekati masyarakat di sini menerusi Festival Kebudayaan ‘Pesta Main Adat Asal’ dan kempen penanaman pokok di projek empangan Baleh (Baleh HEP).

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak SEB itu merupakan sebahagian daripada komitmen terhadap pemeliharaan budaya dan alam sekitar dalam kalangan masyarakat terjejas.

Selain festival kebudayaan, kempen penanaman pokok telah dijayakan SEB dengan kerjsama Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak dan komuniti Baleh.

Pengurus Besar SEB Baleh HEP, Tan Hang Kiak berkata, pada masa sama inisiatif program itu juga bertujuan untuk menghormati dan memelihara kekayaan budaya masyarakat Iban di Baleh.

“Pemeliharaan budaya dan warisan, dan penjagaan alam sekitar merupakan salah satu inisiatif pelaburan sosial utama untuk SEB yang bertujuan untuk melindungi warisan budaya masyarakat Iban Sarawak yang kaya, memupuk semangat kemasyarakatan melalui sambutan dan menghidupkan semula permainan dan amalan budaya yang asli, sambil turut menyumbang kepada usaha kelestarian global,” katanya kepada TVS hari ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan untuk Perkhidmatan Projek SEB, Sharina Bohari mendedahkan sebanyak 2,750 anak pokok buah-buahan telah diedarkan dan ditanam di rumah panjang di sekitar Baleh.

“Ini adalah komitmen dan sokongan SEB dalam meningkatkan sumber pendapatan masyarakat dan ia turut sejajar dengan Kempen Penanaman Pokok Bersepadu selama 10 tahun untuk menanam dan melindungi 500,000 pokok menjelang 2030,” katanya.

 

‘Pekit Pantun’, antara permainan tradisional yang dipertandingkan dalam Pesta Main Adat Asal.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Unggam yang mewakili salah seorang ketua rumah panjang di Baleh menzahirkan penghargaannya terhadap usaha SEB dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan identiti komuniti setempat.

“Terima kasih kepada SEB kerana sudah mengadakan Pesta Main Adat Asal Iban, agar adat kami (Iban) tidak lenyap ditelan zaman,” ujarnya.

Sekitar suasana penanaman anak pokok buah-buahan di SK Temenggong Koh oleh Pegawai Daerah Bukit Mabong, Calvin Ligong.

Turut senada, Pegawai Daerah Bukit Mabong, Calvin Ligong yang menyifatkan impak pembangunan Baleh HEP itu ke arah positif untuk komuniti setempat.

“Dahulu kami dihubungkan melalui perkhidmatan pengangkutan air sahaja tetapi disebabkan impak yang positif dari Baleh HEP, kini ada jalan raya untuk menghubungkan kami dari Nanga Antawau ke Pekan Kapit yang mengambil masa sejam setengah,” ujarnya.

Calvin dalam pada itu turut menambah bahawa impak positif tersebut turut dirasai oleh para pendidik dan murid di sekolah kawasan itu.

Pendapat serupa diluahkan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Koh, Peter Kedit yang bersetuju akan penglibatan SEB sejak beberapa tahun lepas telah banyak membantu sekolah beliau.

“Kami (SK Temenggong Koh) merupakan salah satu anak angkat bagi Baleh HEP dan kami bersyukur dapat menerima sumbangan yang banyak seperti buku-buku akademik, kipas dan sebagainya.

“Melalui program ini, kami juga dapat menjalin hubungan rapat bersama masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar sini, jadi diharapkan ia dapat diteruskan setiap tahun selepas ini,” katanya lagi.

Terdahulu, majlis menyaksikan SEB turut menyampaikan sumbangan kepada 54 rumah panjang di Baleh sebagai sumbangan kepada komuniti setempat untuk menyambut perayaan Krismas akan datang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan