Search
Close this search box.
Satelit piko pertama Malaysia, SpaceANT-D dilancarkan dengan roket Falcon 9 di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat hari ini. Foto: USM

USM lancar satelit piko pertama Malaysia di California

GEORGE TOWN, 12 Nov: Universiti Sains Malaysia (USM) bersama syarikat spin-off USM, SpaceIn Sdn Bhd melakar sejarah apabila melancarkan satelit piko pertama Malaysia, SpaceANT-D hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Dr. Norilmi Amilia Ismail berkata, satelit itu dilancarkan dengan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat pada jam 2.47 pagi waktu tempatan.

Katanya, SpaceANT-D berukuran 5x5x5 sentimeter dan berat kurang 250 gram akan dilepaskan daripada ‘deployer’ Alba Orbital dalam masa tujuh ke 10 hari lagi dan isyarat pertama satelit kemudiannya akan dihantar ke stesen bumi.

“SpaceANT-D akan mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi Internet of Things (IoT).

“Ia akan menerima data daripada sensor di bumi dan data ini akan dihantar semula ke stesen bumi.

“Dari stesen bumi, data akan dihantar ke ‘cloud’ untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, misi tersebut merupakan hasil usaha bersama antara USM, SpaceIn dan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) yang menandakan pencapaian penting dalam usaha negara mencapai Malaysia Space Exploration 2030.

“Pelancaran satelit ini juga menunjukkan komitmen USM dan SpaceIn untuk membangunkan bakat tempatan, menggalakkan inovasi dan memajukan industri angkasa di Malaysia.

“SpaceIn bercita-cita memimpin aktiviti penjelajahan angkasa di Malaysia dan kami percaya dengan pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan,” ujarnya.

Katanya lagi, antara tumpuan penggunaan satelit SpaceANT-D adalah dalam industri pertanian, perhutanan serta minyak dan gas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan