Search
Close this search box.
Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan terdapat tiga klinik yang memainkan peranan besar dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti setempat Iaitu Klinik Long Lama, Klinik Long Bedian dan Klinik Long Bemang. Foto: TVS

Klinik daif di pedalaman: Cabaran dan keperluan komuniti

ByFebbright James

BARAM, 9 Nov: Akses kepada perkhidmatan kesihatan yang baik merupakan antara elemen penting dalam kehidupan sesebuah komuniti.

Di bandar, komuniti boleh memilih sama ada mahu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital swasta atau  kerajaan mengikut keselesaan dan kemampuan masing-masing.

Namun berbeza di kawasan pedalaman apabila komuniti hanya bergantung kepada perkhidmatan kesihatan di klinik desa sahaja yang kebanyakan klinik ini dalam keadaan usang dan daif serta memerlukan penambahbaikan.

Misalnya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan terdapat tiga klinik yang memainkan peranan besar dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti setempat Iaitu Klinik Long Lama, Klinik Long Bedian dan Klinik Long Bemang.

Cabaran dan keperluan penduduk

 

Tinjauan TVS mendapati komuniti di sini berkongsi cerita mengenai cabaran yang mereka hadapi dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan di pedalaman.

Menurut salah seorang penduduk, Anthony Tudak, 34, memaklumkan cabaran yang dihadapi oleh penduduk setempat dalam mendapatkan rawatan kesihatan di klinik-klinik ini ialah berlakunya kesesakan dan kekurangan fasiliti menjadikan mereka terpaksa dirujuk ke hospital yang terletak  di bandar Miri kira-kira tiga ke empat jam perjalanan dari perkampungan mereka.

“Kita bersyukur kerana ada satu klinik yang memberi kemudahan kesihatan kepada penduduk di Baram dan kawasan sekitarnya. Namun, kami berdepan dengan beberapa cabaran termasuk tempoh menunggu yang lama sekaligus menyebabkan kesesakan. Sebab itu kalau boleh kita mahu kemudahan disini ditambah baik dan jumlah petugas kesihatan ditambah bagi menampung keperluan penduduk,” katanya.

Kesesakan dan tempoh menunggu yang lama turut memberi kegusaran kepada penduduk khususnya warga emas kerana kebanyakkan komuniti yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Long Lama datang menggunakan perahu.

Lantaran itu, seorang penduduk warga emas, Aran Ngau, 66, mendedahkan mereka terpaksa pulang ke kampung masing-masing sebelum senja menjelma.

“Agak sukar untuk kami apabila terpaksa menunggu lama kerana kami menggunakan perahu datang ke sini. Banyak orang mendapatkan perkhidmatan di sini termasuk komuniti Iban dan Kayan. Kadangkala ada juga berasa tidak selesa kerana berlakunya kesesakan,” ujarnya.

Klinik Long Lama

Pegawai Perubatan Keluarga di Klinik Long lama, Dr Janarisa Mustar May dan Pengerusi Panel Penasihat Kesihatan KK Long Lama, Penghulu Desmond Yap. Foto: TVS

 

Klinik Long Lama boleh dikatakan sebagai ‘nadi’ utama dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada pelbagai kampung di DUN tersebut kerana fasilitinya yang lebih banyak berbanding klinik lain.

Namun, keadaan berubah setelah berlakunya tanah runtuh yang menjejaskan struktur bangunan utama klinik sehingga dikategorikan tidak selamat yang menyebabkan operasinya dipindahkan ke Dewan Masyarakat Long Lama.

Kesannya, banyak perkhidmatan kesihatan seperti X-ray dan kemudahan ibu bersalin tidak dapat disediakan di klinik tersebut yang dalam serba kekurangan dan hanya dapat memberikan perkhidmatan kesihatan dalam keadaan terbatas.

“Kami sekarang beroperasi di Dewan Masyarakat Long Lama selepas bangunan klinik runtuh sebelum COVID-19 melanda iaitu sejak beberapa tahun yang lepas. Beberapa perkhidmatan tidak dapat dilakukan seperti X-ray kerana tidak ada bilik yang sesuai.

KKM harus bina klinik kesihatan dalam perkampungan komuniti Penan

“Kalau dari segi jumlah kedatangan pesakit, kita menerima lebih kurang serratus pesakit setiap hari tapi bergantung dengan keadaan jalan sebab kalau hujan kurang sedikit sebab jalan licin (jalan balak),” ujar seorang Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Long Lama Dr Janarisa Mustar May ketika ditemui wartawan TVS.

Senada dengan beliau, Pengerusi Panel Penasihat Kesihatan Klinik Kesihatan Long Lama, Penghulu Desmond Yap mengakui bahawa isu kelengkapan tidak cukup telah menyukarkan penduduk di sini.

“Masalah utama adalah kelengkapan disini tidak cukup dan kadang-kadang selepas berjumpa dengan doktor, pesakit terpaksa dirujuk ke Hospital Miri untuk perkhidmatan lain seperti X-ray. Jadi agak sukar kerana ada sesetengah mengalami kekangan dari segi pengangkutan.

Klinik Long Bedian dan Klinik Long Bemang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan menunjukkan keretakan di bangunan KK Long Bedian semasa lawatannya bersama-sama TVS. Bangunan tersebut retak akibat perubahan struktur tanah kesan dari tanah runtuh. Foto: TVS

Situasi yang hampir sama juga dialami di Klinik Long Bedian yang terletak kira-kira tiga jam dari Klinik Long Lama yang menjadi klinik utama bagi memberi rawatan kepada penduduk di kawasan tersebut khususnya komuniti Penan dan Kayan.

Klinik Long Bedian ketika ini berhadapan dengan keadaan tanah runtuh yang sedikit sebanyak menjejaskan struktur bangunan utama klinik.

Akibat hakisan tanah yang berlaku menyebabkan dinding bangunan utama klinik retak dan kuarters penginapan petugas kesihatan juga mula tidak teguh.

Lebih memeritkan, menurut petugas kesihatan di klinik tersebut mereka hanya memiliki sebuah kenderaan untuk menghantar pesakit yang perlu dirujuk ke Hospital di Miri.

Oleh itu, sekiranya berlaku lebih dari satu kes kecemasan dalam satu masa, mereka perlu mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung atau saudara mara pesakit untuk menghantarnya ke hospital umum.

Menurut petugas kesihatan di situ, keadaan cuaca juga memainkan peranan penting apabila komuniti Penan mahu mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerana  rata-rata mereka menggunakan pengangkutan air atau jalan balak yang akan licin sekiranya hujan.

Dalam pada itu, Klinik Long Bemang turut memerlukan penambahbaikan kerana  klinik ini kerap dilanda banjir yang berlaku sehingga lima kali dalam tempoh setahun.

Selain struktur bangunan yang terjejas, klinik ini juga tidak memiliki pakar perubatan yang menjadikan perkhidmatannya sangat terhad dan terbatas.

Sudah pasti, menaiktaraf  fasiliti dan menambah bilangan petugas keishatan menjadi antara aspirasi komuniti setempat bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti.

Tiga klinik kesihatan ini perlu segera ‘dirawat’

ADUN Telang Usan Dennis Ngau ketika ditemubual TVS mengenai keadaan klinik di DUN Telang Usan yang berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Foto: TVS

Cakna dengan keluhan dan keperluan penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau  memaklumkan keadaan klinik tersebut sememangnya perlu ditambahbaik segera.

Klinik tersebut berhadapan dengan pelbagai situasi mencabar termasuk kesesakan, risiko tanah runtuh, banjir, kekurangan fasiliti perubatan dan struktur bangunan yang tidak selamat.

“Jadi disebabkan keadaan banjir ini, sudah semesti memberi kesan kepada bangunan klinik. Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia dapat membuat perancangan memindahkan klinik-klinik ini ke satu tapak yang lebih baik.

“Untuk klinik Long Lama ini, pihak jabatan kerja raya memaklumkan kepada saya hakisan tanah dan mendapan di bawah tanah menyebabkan klinik itu diiktiraf tidak sah. Kerap kali saya melawat klinik ini dan saya melihat petugas kesihatan bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan terbaik, tetapi disebabkan keadaan ini menjadi kekangan kepada mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama-sama wartawan TVS baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut beliau sedaya upaya menyediakan keperluan berdasarkan sumber yang ada namun usaha itu tetap memerlukan bantuan dan sokongan dari pihak berwajib seperti KKM.

“Sekiranya fasiliti di klinik-klinik tersebut ditambahbaik dan dinaiktaraf, ianya bukan sahaja dapat memberikan rawatan terbaik tetapi juga menggalakkan penduduk setempat membuat saringan kesihatan seperti yang disarankan oleh KKM,” katanya.

KKM harus bina klinik kesihatan dalam perkampungan komuniti Penan

Selain itu, ujarnya salah satu klinik di kawasan tersebut iaitu Klinik Long Bemang tidak memiliki pakar perubatan atau doktor.

Justeru itu, beliau menaruh harapan agar KKM mempertimbangkan untuk menempatkan tenaga pakar berkenaan agar komuniti berdekatan tidak perlu melalui perjalanan lebih kurang dua ke tiga jam untuk mendapatkan rawatan khusus di klinik lain.

Beliau juga percaya ramai graduan lepasan univerisiti tempatan bersedia untuk mengisi kekosongan tersebut sekiranya diberikan peluang khususnya rakyat sarawak sendiri yang mahu berkhidmat di kawasan pedalaman.

“Sebagai wakil rakyat saya mencadangkan agar jumlah petugas kesihatan di klinik-klinik ditambah sebab saya percaya ramai graduan dalam kalangan anak-anak Sarawak dalam bidang perubatan besedia untuk bertugas di kawasan ini. Ini mungkin boleh memberikan mereka satu pengalaman sebelum ditempatkan bertugas di bandar dan ‘give a chance and priority’ kepada anak Sarawak untuk berkhidmat di kawasan pedalaman,” tambahnya.

Autonomi Kesihatan

Sementara itu, beliau turut menyokong penuh berkenaan pemberian autonomi kesihatan kepada Sarawak.

Ujarnya dalam hal berkaitan kesihatan Sarawak mesti memiliki kuasa menentukan dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan persekutuan.

Hal ini demikian kerana sarawak lebih memahami kehendak dan keperluan komuniti setempat dan sesetengah keputusan terutamanya mengenai isu naiktaraf dan penambahbaikan klinik daif diperlukan segera kerana ianya melibatkan kesejahteraan komuniti.

“Saya menyokong satu cadangan iaitu pemberian autonomi kesihatan kepada Sarawak. Kerajaan negeri boleh menguruskan ‘hardware’ seperti fasiliti yang merangkumi bangunan dan kemudahan, manakala Kerajaan Persekutuan boleh menguruskan ‘software’ seperti bayar gaji, perlantikan dan sebagainya.

“Saya percaya kerajaan negeri dengan senang hati membantu pembangunan sektor kesihatan di negeri ini,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar Klinik Kesihatan Long Bemang, Long Bedian dan Long Lama menemui sinar tidak lama lagi.

Penambahbaikan yang dilaksanakan kelak akan membawa erti yang besar kepada penduduk setempat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan