Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Kerjasama antara MEITD dan TalentCorp yang diwakili Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Anielia Siam dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp, Thomas Matthew semasa Bengkel Kerjasama Industri-Akademik (IAC) di Hotel Pullman Kuching hari ini. Foto:TVS

Sarawak optimis capai 500,000 tenaga kerja mahir menjelang 2030

KUCHING, 6 Nov: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak optimis Sarawak mampu mencapai sasaran melahirkan 30 peratus atau 500,000 tenaga kerja mahir tempatan menjelang tahun 2030.

Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, walaupun jumlah yang disasarkan itu tidak begitu banyak namun pihaknya juga perlu praktikal dalam soal berkenaan.

Malah, menurutnya, dengan fasiliti dan institusi pendidikan awam dan swasta dan teknikal di Sarawak, beliau yakin sasaran yang ditetapkan itu akan dapat dicapai.

“Seperti yang saya katakan, kita berharap ia dapat dicapai, namun kita tidak harus bergantung kepada institusi tempatan yang ada di Sarawak sahaja.

“Malah ia terbuka juga di seluruh Malaysia, sebab itu TalentCorp juga akan dapat membantu kita dalam perkara ini (pembangunan bakat) di mana kita juga akan mencari bakat di institusi lain di Malaysia dan juga luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Kerjasama Industri-Akademik (IAC) anjuran TalentCorp Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama MEITD dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri MEITD, Datuk Francis Harden Hollis dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Korporat RECODA, Dr Hadysyam Junaidi.

Dalam pada itu, MEITD juga telah mengadakan makmal bersama pemegang taruh bagi melihat beberapa keperluan serta cara untuk memenuhi sasaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp, Thomas Matthew menekankan wujud keperluan mendesak untuk membina kumpulan bakat industri untuk masa depan.

Katanya, inisiatif IAC memainkan peranan penting dalam membentuk tenaga kerja yang boleh disesuaikan dengan keperluan industri yang sentiasa berkembang.

“Melalui Bengkel Kerjasama Industri-Akademik Sarawak ini, kami berhasrat untuk mengumpul input dan maklum balas daripada pemain industri dan juga daripada ahli akademik mengenai program intervensi dan penyelesaian yang berpotensi untuk menangani isu dan cabaran bakat dalam tiga sektor tumpuan di Sarawak iaitu pembuatan, minyak dan gas, dan perkhidmatan.

“Sektor-sektor ini telah dikenal pasti sebagai komponen penting dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, sambil berusaha untuk menggandakan saiz ekonomi daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030, sekali gus mewujudkan 195,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Melalui kerjasama yang dijalinkan itu, jurang antara institusi akademik dan industri akan dikurangkan bagi memastikan peralihan yang lancar untuk pelajar dari bilik darjah kepada tenaga kerja. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan