Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia. Foto: Maritim Malaysia

Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia

KUCHING, 6 Nov: Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang keenam berkuat kuasa hari ini, menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang bersara wajib pada Mac lalu.

Ibu Pejabat Maritim menerusi kenyataan media berkata, majlis pemakaian pangkat disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pejabat Menteri Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini.

Hamid yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, telah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserapkan ke Maritim sebagai pegawai perintis agensi ini pada 31 Oktober 2005.

Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah  (ESSCOM) pada 2019.

“Datuk Hamid memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah/Sarawak dalam menjaga keselamatan negara daripada pelbagai ancaman khasnya jenayah rentas sempadan,” kata kenyataan itu.

Beliau turut diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada 2021.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri Datuk Hamid, Datuk Sapiah Mohd Nor Foto menyempurnakan memakaikan pangkat. Foto: Maritim Malaysia

Pada Mac yang lalu, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia.

Berlandaskan perancang strategik dan atur gerak aset yang bijak, beliau telah mencapai banyak kejayaan melalui penahanan dan pendakwaan kes berprofil tinggi.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai inisiatif untuk memperkuatkan hubungan kerjasama antara Maritim Malaysia dengan nelayan serta komuniti maritim dalam usaha mempertingkatkan keselamatan maritim negara.

Atas sumbangan dan jasa beliau dalam perkhidmatan maritim, Hamid telah menerima banyak pengiktirafan seperti Darjah Kebesaran Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mangku Negara (AMN) serta Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pada Ogos lalu.

“Peranan baharu sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, beliau diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi warga Maritim Malaysia melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar negara,” katanya -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan