Search
Close this search box.
Datuk Dr Annuar Rapaee berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Sibu, hari ini. Foto: TVS

PBB Zon Sibu usul Belanjawan Sarawak 2024 terus fokus pembangunan

SIBU, 5 Nov: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Sibu hari ini mengusulkan agar Belanjawan Sarawak 2024 terus mengutamakan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.

Ia merupakan satu daripada 14 usul yang dibacakan Naib Presiden PBB Datuk Dr Annuar Rapaee pada konvensyen yang dihadiri perwakilan dari 23 cawangan PBB di Zon Sibu.

“Kami, ahli PBB mengusulkan agar Belanjawan Sarawak 2024 terus mengutamakan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sarawak dengan mengekalkan peruntukan 70 peratus untuk pembangunan dan 60 peratus daripadanya dikhususkan untuk infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar,” katanya.

Belanjawan Sarawak 2024 akan dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), November ini.

Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat berkata ahli PBB dari Zon Sibu menyokong pertambahan bilangan kawasan Parlimen di Sarawak.

“Kami juga mencadangkan agar kawasan DUN turut ditambah bagi menyesuaikan pertambahan populasi dan pengundi di samping memastikan kesejahteraan dan pembangunan yang saksama,” katanya.

Tambahnya lagi, PBB Zon Sibu menyokong aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memberi pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak di institusi pengajian tinggi milik kerajaan.

“Ini kerana pendidikan merupakan aspek penting dalam melahirkan sumber manusia yang berkualiti untuk mencapai taraf negeri yang maju,” jelasnya.

Turut diusulkan, agar kerajaan menggiatkan usaha membangun dan memperkasakan sektor pertanian khususnya di luar bandar bagi memastikan keterjaminan makanan selain meningkatkan sosioekonomi.

Menurutnya, PBB Zon Sibu merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas inisiatif kerajaan Sarawak yang diterajui Abang Johari yang memberikan bantuan deposit RM10,000 untuk pembeli rumah pertama rumah mampu milik.

“Kita juga mengusulkan agar kerajaan membina lebih banyak unit rumah mampu milik bagi membantu rakyat memiliki rumah kediaman sendiri terutama golongan muda,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan