Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata peranan semua pihak amat penting dalam memastikan kemenangan GPS di semua 45 saluran mengundi. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

PRK Jepak: Peranan semua pihak penting dalam memastikan GPS menang besar

ByHafeezzur Muzamir

JEPAK, 2 Nov: Semua pemilih berdaftar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak berperanan penting dalam misi Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak pada 4 November ini.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peranan komuniti di rumah panjang penting untuk memastikan kemenangan di semua 45 saluran mengundi.

“Saya dah semak keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas bagi DUN Jepak, kita mahukan PRK ini semua saluran mengundi itu berpihak kepada calon kita.

“(Pengundi) rumah panjang merupakan antara kekuatan kita untuk meraih majoriti besar supaya suara kita (penduduk) di Jepak ini akan didengar oleh peringkat atasan, kemenangan GPS adalah untuk kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada progam kempen GPS di Rumah Panjang Ijau Undah Sungai Sebemban di Jalan Pesisir Jepak, Kuala Tatau, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus.

Awang Tengah yang juga Pengarah Pilihan Raya GPS bagi PRK Jepak, menyeru agar pengundi-pengundi di Jepak untuk membuat keputusan yang bijak dengan tidak mensia-siakan undi mereka kepada calon parti pembangkang yang sememangnya  tidak mampu membantu penduduk di Jepak.

“Kalau parti pembangkang menang, kita akan kehilangan bantuan seperti peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP). Jikalau wakil rakyat GPS bukan sahaja MRP, malah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan baik pulih rumah kita tawarkan setiap tahun.

“Kita mahu semua bantuan itu, kalau kita undi dia (Aspirasi dan PBK) gelap masa depan kita,” tegasnya

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon GPS, Iskandar Turkee dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) Chieng Lea Phing. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan