Search
Close this search box.
Pengarah Pilihan Raya GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peranan komuniti di rumah panjang penting untuk memastikan kemenangan di kesemua 45 saluran mengundi. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Parti lawan tiada modal di Jepak – Awang Tengah

JEPAK, 2 Nov: Parti pembangkang tiada modal politik dan terpaksa mengitar tohmahan berkenaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, parti lawan cuba mengelirukan pengundi dengan memburuk-burukkan imej Kerajaan Sarawak yang ditadbir GPS dalam PRK ini.

“Tohmahan sebegini sudah biasa dimainkan, seolah-olah kita tidak buat kerja.

“Akhirnya yang rugi ialah mereka yang termakan dengan fitnah ini. Sekiranya ini berlaku, sampai bila-bila masalah yang dihadapi mereka (penduduk) tidak akan dapat diselesaikan, jadi siapa yang rugi,” soalnya.

Awang Tengah berkata demikian kepada pemberita selepas hadir membantu kempen calon GPS, Iskandar Turkee di Rumah Panjang Raphael, Samarakkan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus.

Sehubungan itu Awang Tengah meminta agar pengundi di Jepak tidak mudah termakan dengan hasutan berkenaan.

GPS yang diwakili Iskandar Turkee dari PBB menghadapi saingan dari calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dalam PRK itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen di rumah panjang itu, Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, rumah panjang itu yang terletak dalam kawasan Samarakan akan menerima projek liputan bekalan air yang telah dimasukkan dalam perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak.

“Ini sudah dalam perancangan kita bukan sahaja untuk Rumah Raphael Ngau tetapi meliputi keseluruhan kawasan Samarakan.

“Ini termasuk membina tangki aras tinggi dan saya percaya kawasan ini akan menikmati kemudahan bekalan air bersih,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan