Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Bangunan Baitulmakmur 2 hari ini. Foto: TVS

9,198 individu ditangkap terlibat penyalahgunaan dadah di Sarawak

KUCHING, 1 Nov: Seramai 9,198 individu ditangkap kerana terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di Sarawak bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam tempoh itu, nilai rampasan pelbagai dadah adalah sebanyak RM137,492,969.

“Itu adalah satu jumlah yang besar. Ini menunjukkan bahawa ada tangkapan-tangkapan yang melibatkan jumlah yang besar baru-baru ini,” katanya pada sidang media Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, di seluruh Sarawak mempunyai 45 Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) di bawah naungan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai usaha untuk membantu membanteras penyalahgunaan dadah.

“Pada tahun ini Sarawak telah menambah sebanyak 38 JKPD daerah selain daripada tujuh JKPD sedia ada. Ia bermakna lonjakannya begitu drastik sekali. Anda boleh lihat bagaimana seriusnya kita dalam usaha untuk menangani dadah.

“Jadi dalam dua tahun ini kerajaan telah berjaya membantu 2,874 orang, untuk lelaki 2,720 dan untuk wanita 154 penagih-penagih dadah untuk mendapat perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti melalui Pejabat AADK,” ujarnya.

Tambahnya, seramai 181 orang lagi menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Narkotik Kuching (PUSPEN) di mana klien lelaki seramai 167 orang dan klien wanita seramai 14 orang.

“Bahagian Kuching merekodkan kes tertinggi melibatkan 1,010 orang manakala jenis dadah pula melibatkan syabu, ganja dan lain-lain.

“Bagi Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) pula, Kampung Haji Baki di Bahagian Kuching dan Kampung Baru di Bahagian Samarahan telah dikenal pasti dan status penghijauan kedua-dua KBT tersebut telah mencapai status hijau berdasarkan indikator yang ditetapkan,” katanya.

Ali Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata, usaha-usaha berterusan terus dipergiatkan agar status hijau itu dapat dikekalkan menerusi kolaborasi semua pihak melalui strategi program-program Pencegahan, Penguatkuasaan dan Rawatan dan Pemulihan berteraskan lima strategi utama.

“Yang pertama ialah mencegah penagih baharu, kedua mengekalkan kadar kepulihan, ketiga meningkatkan pengesanan penagih dadah, keempat meningkatkan kerjasama dan penglibatan agensi atau komuniti dan kelima menyekat kemasukan dadah.

“Selain itu, program Mobile Recovery Treatment (MRT) juga telah diperluas keenam buah penjara pusat di Sarawak iaitu Penjara Pusat Kuching, Penjara Pusat Sri Aman, Penjara Pusat Sibu, Pusat Koreksional Bintulu, Penjara Pusat Miri dan Penjara Pusat Limbang,” katanya.

Tambahnya, walaupun penularan dan kadar penyalahgunaan dadah dalam masyarakat amat membimbangkan, penyalahgunaan dadah di Sarawak masih dikategorikan rendah di Malaysia berdasarkan kadar populasi terkini.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, tanggungjawab untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah tidak harus diletakkan kepada pihak berkuasa semata-mata.

“Ia adalah perkara yang melibatkan masyarakat, justeru semua pihak harus menggembleng tenaga memastikan ia tidak menular menjadi lebih besar.

“Pihak berkuasa dikehendaki untuk mengawal dan sebagainya peranan harus dimainkan semua termasuk ibu bapa, sekolah, guru, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK), penghulu dan sebagainya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan