Search
Close this search box.
Asiah Hamdan, seorang peniaga makanan di Jepak bersyukur kerana BKSS membolehkan beliau bangkit dalam perniagaan akibat kesan penularan COVID-19. Foto: TVS

‘BKSS bantu saya bangunkan semula perniagaan pasca COVID-19’ – Peniaga

ByMuqri Aziz

BINTULU, 23 Okt: Keprihatinan kerajaan Sarawak semasa pandemik COVID-19 dua tahun yang lalu telah membantu seorang peniaga dari Kampung Warisan Jepak bangkit membangunkan semula perniagaan pada era pasca COVID-19.

Seorang peniaga makanan, Asiah Hamdan, 56, amat menghargai bantuan daripada Kerajaan Sarawak yang menyalurkan dana menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 sebanyak RM3,000 secara ‘one-off’ kepada peniaga di Sarawak yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Dahulu aktiviti perniagaan kami susah, sebab pada ketika itu Malaysia dilanda wabak COVID-19, namun Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyalurkan bantuan.

“Dulu kedai saya ini kecil tetapi alhamdulillah, kedai makan ini dapat diperbesarkan untuk menampung jumlah pelanggan yang datang untuk makan di kedai saya dan sudah semestinya bantuan yang telah disalurkan itu dapat meringankan beban kewangan kepada kami dan membolehkan kami bergerak ke hadapan dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19,” katanya kepada TVS.

Beliau membuka sebuah kedai makanan dan minuman, Laman Selera Kampung Warisan Jepak, yang menyajikan nasi lemak berlauk bermula 6 pagi hingga 3 petang.

“Sebelum ini saya berniaga di kantin SMK Kemena selama enam tahun dan kemudiannya saya berpindah untuk membuka sebuah kios di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) pada 2020.

“Namun, baru sahaja dua minggu perniagaan, kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup semua sektor perniagaan dan sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai makan di sini,” katanya.

Beliau bersyukur kerana perniagaannya mendapat sambutan memberangsangkan terutamanya daripada penduduk setempat setelah kerajaan melonggarkan beberapa syarat berkaitan COVID-19.

Asiah yang dahulunya menetap di Kampung Sebuan Besar/Kecil dan kemudiannya berpindah di Kampung Warisan Jepak apabila ia dibangunkan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) pada 2007 dan kini telah menetap di situ selama 15 tahun.

Ditanya mengenai aspirasi beliau sebagai peniaga, Asiah mahu kerajaan negeri meneruskan bantuan serupa itu berikutan kenaikan harga barang serta ekonomi yang tidak menentu.

“Saya berharap, jika boleh, kerajaan negeri meneruskan bantuan seperti itu (BKSS) untuk mengatasi kemelut kenaikan harga barang dan juga ekonomi yang saya lihat semakin tidak menentu kerana rata-rata peniaga di sini adalah daripada golongan belia,” katanya.

Pada 14 Oktober 2021, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan dua bantuan tambahan kepada Industri Kecil dan Sederhana (SME) dan Perusahaan Mikro (Micro Enterprises) yang berdaftar dengan PERKESO.

BKSS adalah bantuan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban rakyat ekoran wabak COVID-19.

Kerajaan telah membelanjakan sekitar RM1.15 bilion untuk inisiatif ini sejak mula diperkenalkan pada 1 April 2020 hingga 30 Jun 2023 dan diteruskan dengan bantuan diskaun bil elektrik berjumlah RM203.7 juta yang memanfaatkan 700,00 pengguna di Sarawak sehingga hujung tahun ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan