Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas pentas semasa sesi Town Hall bersempena dengan Lan Berambeh 2023. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Sarawak diminta bersedia jadi tuan rumah Sukan SEA 2027 – Abang Johari

ByLuqman Muhammad

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan Sarawak mungkin akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Premier Sarawak itu berkata, ini selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS)  ‘meminang’ Sarawak baru – baru ini memaklumkan perkara berkenaan.


Sarawak diminta bersedia jadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
“Kita (Sarawak) telah diminta untuk bersedia, kemungkinan pada 2027 kita menjadi tuan rumah Sukan SEA.

“Oleh itu, kita sedang menyediakan venue yang sesuai untuk penganjuran sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Town Hall Sarawak Agenda yang dikendalikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli di sini hari ini.

Sesi berkenaan diadakan sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA pada 2027 selepas Thailand menjadi tuan rumah pada 2025.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya terbesar di Asia Tenggara itu pada 2017 dengan hampir keseluruhan acara berlangsung di Kuala Lumpur.

Sementara itu, pada sesi pertama Town Hall LBAS 2023, rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia diberi peluang mengajukan soalan secara terus kepada Abang Johari.

Kepada salah satu pertanyaan mengenai sukan permotoran yang kurang mendapat perhatian, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan sebarang disiplin sukan.

“Ketika ini Kerajaan Sarawak mahu membangunkan Sibu yang berdepan masalah takungan air sehingga menyukarkan usaha untuk membina litar lumba di sana.

“Selagi ada sukan yang diminati, kerajaan akan menyediakan keselesaan,” tambah Abang Johari. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan