Search
Close this search box.
Hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 sekitar dua tahun lalu,  membuatkan seorang pemuda memilih untuk mengusahakan tanaman nanas jenis MD2, di sebuah ladang di Pekoti Timur di sini, bagi meneruskan kelangsungan hidup. Foto Bernama/TVS.

Tanam nanas lepas hilang kerja, pemuda raih RM200,000 selepas tuaian pertama

ByBernama

ROMPIN, 19 Okt: Hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 sekitar dua tahun lalu,  membuatkan seorang pemuda memilih untuk mengusahakan tanaman nanas jenis MD2, di sebuah ladang di Pekoti Timur di sini, bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Berkongsi cerita pengalamannya Mohamad Aiman Salman Abd Razak, 28, berkata pada mulanya beliau terlihat iklan di laman sosial yang menawarkan program Agro Komuniti B40, anjuran bersama Agrobank dan AQINA Fruits Sdn Bhd.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu berkata tanpa sebarang pengetahuan mengenai bidang pertanian, beliau memberanikan diri menghubungi pihak terbabit untuk mengetahui lanjut mengenai program yang ditawarkan, sebelum mula mengusahakan tanaman tersebut pada Sept 2021.

“Saya juga maklumkan kepada mereka bahawa tiada latar belakang dalam bidang pertanian dan diberitahu AQINA akan membantu dari segi kemahiran dan pekerja, manakala Agrobank akan beri pinjaman.

“Justeru, saya nekad untuk mulakan tanaman nanas di kawasan seluas 2.023 hektar (lima ekar) yang diberikan, dan kini telah selesai tanaman bagi pusingan pertama yang mana saya memperoleh hasil RM200,000, malah sekarang tengah buat persedian untuk pusingan kedua pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Lawatan Agrobank Media Industrial Visit di Pekoti Timur di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Jabatan Perniagaan Mikro Agrobank Sirajul Yusran Hasan dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat AQINA Wesley Tan.

Anak jati Kuala Rompin itu, turut berterima kasih kepada pihak AQINA yang membantunya menguruskan tanaman itu, selain Agrobank yang meletakkan syarat, pinjaman hanya dibayar selepas tanaman mengeluarkan hasil, bagi memudahkan urusan peladang kontrak di situ.

“Pinjaman yang ditawarkan itu tidak membebankan kami dan dibayar secara berperingkat, jadi saya berharap program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi,” kata bekas kakitangan di sebuah syarikat swasta itu.

Sementara itu, Sirajul Yusran berkata setakat ini lebih 20 individu telah terlibat dengan program Agro Komuniti B40 Pekoti 1.0 sejak ia dimulakan pada 2019, dengan jumlah pembiayaan ditawarkan sehingga RM280,000 bagi seorang peladang.

Beliau berkata projek kolabrasi bersama AQINA itu, turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Pahang selain diselia Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Sirajul Yusran berkata pembiayaan tersebut, bagi menampung kos operasi tanaman dengan tempoh perjalanan program mengambil masa sekitar lima tahun, melibatkan tiga pusingan tanaman.

“Uniknya menerusi projek ini, seperti kita tahu tanaman nanas ambil masa panjang sehingga 18 bulan, tetapi dalam setiap bulan peladang akan perolehi pendahuluan hasil sehingga RM4,000 sebulan, jika kita lihat jumlah ini agak selesa dan hampir keluar daripada golongan B40.

“Selain itu, peladang kontrak juga mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan AQINA, dalam memastikan buah yang dihasilkan berkualiti, namun apa yang kami harapkan selepas tamat program ini mereka dapat berdikari dan usahakan ladang sendiri,” katanya.

Bagi Wesley yang merupakan generasi keempat pengusaha tanaman nanas berkata pihaknya komited apabila dapat bekerjasama dalam program ini, dengan menawarkan perkongsian kemahiran teknikal dalam pengurusan ladang kepada peladang kontrak berkenaan.

Beliau berkata peladang akan mendapat pelbagai manfaat selepas menyertai program itu, antaranya pengaturan pekerja dan kerja di ladang, malah dapat menggunakan jentera sedia ada syarikatnya.

“Inisiatif Agrobank yang turut membantu menyediakan pembiayaan merupakan langkah yang baik, kerana bagi seekar tanah dianggarkan 25,000 hingga 30,000 pokok perlu ditanam dan ini sudah tentu melibatkan kos yang tinggi.

“Lebih membanggakan, baru-baru ini kami juga telah mengeksport satu kontena nanas MD2 yang diusahakan peladang kontrak ini ke Jepun, yang mana buah ini dilengkapi dengan standard ‘myGAP’ kerana ia merupakan salah satu kriteria diperlukan pembeli dari luar negara,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan