Search
Close this search box.
Seorang pemuda yang hilang pendengaran selepas dibuli di sebuah sekolah menengah di Terengganu lapan tahun lepas kekal memperoleh ganti rugi lebih RM600,000 di Mahkamah Persekutuan di sini. Foto hiasan, Envato.

Mangsa buli sekolah peroleh ganti rugi lebih RM600,000

ByBernama

PUTRAJAYA, 17 Okt: Seorang pemuda yang hilang pendengaran selepas dibuli di sebuah sekolah menengah di Terengganu lapan tahun lepas kekal memperoleh ganti rugi lebih RM600,000 di Mahkamah Persekutuan di sini.

Peguam Nik Nur Syazwani Nik Suhaimi, yang mewakili pemuda itu, berkata anak guamnya memperoleh ganti rugi selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan sembilan responden termasuk lima bekas pelajar sekolah berkenaan bertanggungjawab dan cuai dalam kejadian memukul, buli serta menyerang mangsa.

“Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa kesemua responden iaitu Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab secara vikarius akibat daripada kecuaian warden, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan pengetua sekolah itu.

“Mahkamah Persekutuan sebulat suara telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan. Oleh itu, semua responden diarah untuk membayar ganti rugi kepada perayu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan rayuan pemuda itu dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Pada prosiding semalam, perayu turut diwakili peguam Wan Azliana Wan Adnan, Hisyam Yusof dan Diyana Ibrahim manakala kesemua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi dan Zureen Elina Mohd Dom.

Sementara itu, Wan Azliana yang juga Ketua Penggerakan Penggubalan Akta Anti Buli dalam satu kenyataan memaklumkan kes ini merupakan kemenangan untuk anak guamnya dan semua mangsa kejadian buli di seluruh Malaysia.

“Saya berharap keputusan kes ini dapat dijadikan pengajaran dan bertindak sebagai pencegahan bagi kes-kes buli yang lain,” katanya.

Pada 2 April 2017, pemuda itu, yang ketika kejadian berusia 14 tahun, memfailkan saman melalui bapanya terhadap lima pelajar tingkatan lima, PKHEM, pengetua sekolah, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan.

Mangsa, yang kini berusia 22 tahun, mendakwa beliau telah dipukul, dibuli dan diserang oleh lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah.

Kejadian yang berlaku pada 26 April 2015 itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran selain berdepan trauma teruk serta tekanan perasaan sehingga terpaksa menjalani rawatan psikiatri.

Pada 29 Sept 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan kesemua defendan membayar ganti rugi berjumlah RM616,634.20 selepas membenarkan saman plaintif.

Mahkamah itu juga mendapati kesemua defendan bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami plaintif.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2021 mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima pelajar senior itu yang didakwa telah memukul, membuli serta menyerangnya selain mendapati defendan lain tidak dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan