Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto, Faitullah Morni (TVS).

OP Bersepadu Samseng Jalanan: 126 saman dikeluarkan

ByBernama

GEORGE TOWN, 8 Okt: Polis mengeluarkan 126 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di kawasan Persiaran Tunku Kudin, di Gelugor di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, pihaknya menjalankan operasi bersepadu itu bermula 11.30 malam tadi hingga 4 pagi ini hasil risikan dan intipan susulan terdapat maklumat kegiatan mat rempit.

“Kami mendapati sekumpulan motosikal telah memasuki ke arah Persiaran Tunku Kudin dipercayai untuk berlumba dan pihak polis mengambil tindakan segera dengan mengepung kawasan tersebut, ada dalam kalangan mereka cuba melarikan diri namun gagal berbuat demikian.

“Seramai 148 orang dan 136 motosikal diperiksa dalam operasi itu sebelum 126 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada lesen, ekzos bising, nombor plat fancy dan tayar tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dalam operasi itu, pihak polis turut menyita 13 motosikal kerana mengubah suai secara keterlaluan.

Soffian berkata, selain itu, pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai juruteknik kerana menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Operasi tersebut akan dijalankan dari semasa ke semasa terutama ketika hujung minggu dalam usaha membendung kegiatan samseng jalanan dan mat rempit serta jenayah jalanan,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan polis menahan seorang lelaki kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di daerah itu awal pagi tadi.

Kenyataan itu memaklumkan lelaki berusia 30-an itu direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, pihak polis turut mengeluarkan 23 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi bermula 11 malam tadi hingga 4 pagi ini,” menurut kenyataan itu. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan