Search
Close this search box.
Pemandangan di sekitar Kuala Lumpur yang dilanda jerebu sejak beberapa hari lepas. Foto TVS.

Ambil langkah pencegahan kurangkan kesan jerebu ke atas kesihatan – KKM

ByBernama

PUTRAJAYA, 2 Okt: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai yang berada di kawasan dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan di samping menggunakan penutup muka dan mulut jika terpaksa berada di luar.

“Aktiviti fizikal akan meningkatkan kadar pernafasan menyebabkan lebih banyak partikulat terampai memasuki saluran pernafasan dan keadaan itu boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya peka dengan perubahan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dengan merujuk laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) di https://apims.doe.gov.my/home.html.

“KKM akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa,” katanya serta menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

Dr Muhammad Radzi berkata langkah pencegahan lain termasuk menutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan, dengan tidak merokok.

Selain itu, katanya penggunaan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan dan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM di https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu.

Sebanyak 12 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras tidak sihat setakat pukul 4 petang ini, dengan Nilai di Negeri Sembilan menjadi kawasan paling terjejas dengan catatan IPU 162.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan