Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Peruntukan khas RM300 juta untuk Sabah dan Sarawak sudah 'confirm' - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto: TVS

Belanjawan 2024: Sarawak, Sabah tetap terima peruntukan Khas RM300 juta – TPM Fadillah

KOTA SAMARAHAN, 30 Sept: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan Sarawak dan Sabah akan menerima peruntukan dana khas RM300 juta meskipun formula belum dimuktamadkan.

Menurut beliau peruntukan berkenaan disediakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dalam pembentangan Belanjawan 2024 serta sedang melalui proses digazetkan.

Fadilah menyatakan peruntukan tersebut bukan disalurkan melalui Belanjawan 2024 tetapi disalurkan oleh Kementerian Kewangan.

“Peruntukan khas RM300 juta itu sudah dipersetujui dan akan disalurkan selepas mendapat kelulusan gazet.

“Namun, formula pengagihan peruntukan itu akan dimuktamadkan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan di sini hari ini.

Pada 19 Julai lalu, Fadillah ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Bil 1/2023 di Putrajaya berkata ia adalah sepertimana diperuntukkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan selaras dengan MA63.

Perkara 112D merujuk kepada kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan jumlah pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan dan prinsip pemberian tersebut diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan kedua-dua negeri lebih mundur semasa pembentukan Malaysia.

Menurut Anwar lagi, di bawah MA63, peruntukan khas 112D menetapkan peruntukan munasabah kepada Sarawak dan Sabah yang mula diberi masing-masing pada kadar RM16 juta dan RM26 juta, dan harus dikaji setiap lima tahun namun perkara itu tidak berlaku. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan