Search
Close this search box.
Awang Tengah dan tetamu lain bergambar bersama bomba cilik di Kuala Lawas. Foto: TVS

Belanjawan 2024: Sarawak berharap dapat peruntukan besar – Awang Tengah

LAWAS, 30 Sept: Sarawak berharap Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan besar kepada negeri ini dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meyakini Sarawak memerlukan peruntukan yang besar bagi melaksana dan memacu pembangunan negeri ini secara menyeluruh.

Beliau berkata pembangunan melibatkan perlaksanaan infrastruktur asas, bekalan air dan elektrik, jaringan jalan raya, pendidikan dan kesihatan.

“Sudah pasti kita berharap supaya Sarawak dapat diberi peruntukan yang lebih besar untuk kita melaksana kemudahan yang lebih besar seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air, telekomunikasi dan kemudahan yang lain, termasuk infrastruktur pendidikan, infrastruktur kesihatan.

“Kita tahu banyak sekolah dalam keadaan daif, begitu juga infrastruktur kesihatan, kita bukan saja menumpukan penambahbaikan dari segi klinik yang sedia ada, malah kita mahu lebih banyak klinik desa, hospital dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Bomba Komuniti, Fire Point dan Kempen Kesedaran Keselamatan Awam Kuala Lawas Tahun 2023 pada Jumaat.

Turut sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Penguasa Bomba Ramlan Marajan dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata lagi Kerajaan Persekutuan juga perlu mencari mekanisma terbaik dari segi perlaksanaan projek-projek khusus untuk Sarawak.

“Yang keduanya ialah Kerajaan Persekutuan harus memikirkan dari segi mekanisma untuk melaksana projek-projek pembangunan.

“Bagaimanapun kita bersyukur Kerajaan Persekutuan telah bersetuju projek-projek di bawah RM50 juta diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan tetapi perkara ini harus diperhalusi,” katanya lagi.

Belanjawan 2024 dibentang pada 13 Oktober ini dijangka terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan