Search
Close this search box.
Seorang lelaki berusia 33 tahun maut ditembak selepas disyaki menyerang anggota polis dengan menggunakan senjata tajam di Kampung Joh, Labok.

Seorang lelaki maut ditembak selepas serang anggota polis

ByBernama

MACHANG, 25 Sept: Seorang lelaki berusia 33 tahun maut ditembak selepas disyaki menyerang anggota polis dengan menggunakan senjata tajam di Kampung Joh, Labok, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi, anggota bertugas berkereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima aduan orang awam terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Joh, Labok, di sini.

“Kenderaan peronda polis telah bergerak ke lokasi berkenaan dan terserempak dengan kereta yang dinaiki oleh dua orang lelaki.

Menyedari kehadiran polis, kereta tersebut memecut melarikan diri dan dikejar oleh kereta peronda polis melalui jalan Machang ke arah Kota Bharu sambil pihak polis memberikan arahan dengan pembesar suara untuk suspek berhenti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata semasa kejadian itu turut berlaku beberapa kali pelanggaran antara kereta suspek dengan kenderaan peronda polis hingga menyebabkan kereta suspek terbabas ke kanan jalan di kawasan Kampong Labok.

“Semasa anggota kereta peronda turun untuk membuat pemeriksaan, pemandu kereta (suspek) telah keluar menyerang anggota polis sambil memegang senjata tajam dan pada masa sama anggota berkenaan telah memberikan amaran sebelum terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri, namun suspek bertindak meluru masuk ke bahagian pemandu kenderaan peronda polis serta melarikan kenderaan peronda polis ke arah Kota Bharu.

“Bagaimanapun, kenderaan peronda polis yang dilarikan telah dijumpai berhenti di tepi jalan dengan jarak lebih kurang empat kilometer dari lokasi kejadian di kawasan Pulai Chondong sebelum mendapati suspek meninggal dunia di kerusi pemandu dalam kereta peronda dan mayat suspek dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata seorang rakan suspek iaitu lelaki berumur 43 berjaya ditahan di tempat kejadian manakala suspek yang mati itu berasal dari Pengkalan Chepa dan mempunyai beberapa rekod jenayah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di Kawasan Kampong Joh, Labok, di sini, ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, menjumpai peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki beralamat di Sungai Besar, Selangor turut dirampas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307, 379, 379A, 186 Kanun Keseksaan dan 42(1) APJ (Akta Pengangkutan Jalan),” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan